KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu mencatat pelbagai kejayaan membanggakan sepanjang tahun 2025, sekali gus melakar sejarah baharu dalam aspek tadbir urus, integriti dan prestasi pentadbiran negeri.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Terengganu, YB Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pencapaian tersebut adalah hasil komitmen tinggi serta dedikasi warga Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan yang konsisten serta budaya kerja profesional yang terus diperkukuhkan, demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.
“Antara pencapaian utama ialah pengurusan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dilaksanakan secara terancang, tersusun dan efisien.
“Kerjasama erat antara semua agensi berkaitan membolehkan tindakan pantas diambil, sekali gus memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam.
Dalam sektor pelancongan, kata beliau, Terengganu turut merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila menerima seramai 8.5 juta pelancong sepanjang tahun 2025.
“Kejayaan ini didorong oleh keunikan produk pelancongan negeri, keindahan alam semula jadi serta layanan mesra rakyat Terengganu yang terus mengukuhkan imej negeri sebagai destinasi pelancongan pilihan,” ujarnya.
Dari sudut kewangan, ujarnya, Kerajaan Negeri berjaya menerima Sijil Audit Bersih menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2024, selain mencatat kutipan hasil tertinggi negeri berjumlah RM454.33 juta, mencerminkan pengurusan kewangan yang telus dan berdisiplin.
Dalam bidang pendidikan pula, tambahnya, pencapaian SPM 2024 Terengganu mengatasi Gred Purata Nasional, manakala keputusan STPM merekodkan prestasi terbaik untuk enam tahun berturut-turut dengan PNGK 3.12, melepasi purata kebangsaan.
“Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan warga pendidik serta sokongan padu pelbagai pihak,” katanya.
Secara keseluruhan, tegas beliau, pencapaian tahun 2025 membuktikan Kerajaan Negeri Terengganu berada pada landasan tepat dalam memperkukuh tadbir urus serta memacu pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Justeru itu,beliau yakin kerajaan PAS Terengganu, dengan iltizam dan semangat berkhidmat yang berterusan akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang maju, sejahtera dan dirahmati demi manfaat seluruh rakyat.






























