Oleh ; Hilmi
KUALA TERENGGANU — Aroma semerbak mewangi dan kepulan asap ayam golek dibakar panas, digandingkan dengan kebiruan warna asli Nasi Kerabu Bunga Telang, menjadi ‘kombinasi maut’ yang menambat selera ribuan pengunjung di reruai PAS Kawasan Besut.
Ia menjadi antara tarikan utama sajian program Rumah Terbuka Hari Raya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), dikelolakan sepenuhnya oleh kepimpinan dan jentera DUN Dan cawangan menyediakan lebih 5,000 pek hidangan istimewa tersebut bagi menyantuni para tetamu.
Bukan sekadar menjanjikan kelazatan, hiasan reka bentuk reruai berkenaan turut mencuri tumpuan dengan konsep dekorasi berteraskan rumah tradisional Melayu yang menggamit nostalgia desa.
Suasana di premis itu dihidupkan lagi dengan penampilan unik para petugas yang mengekalkan identiti klasik dan ceria.
Petugas lelaki tampil santai namun kemas dengan mengenakan baju pagoda sedondon yang dililit bersama ‘kain lepas’ di pinggang.


Manakala petugas wanita (Muslimat) pula kelihatan manis mengenakan busana rona merah jambu dan hitam, lengkap dengan hiasan bunga orkid yang disemat rapi.
Walaupun ribuan pengunjung membanjiri perkarangaj reruai seawal majlis bermula, suasana kekal teratur dan harmoni.
Kelancaran ini disumbangkan oleh pematuhan pengunjung yang beratur panjang secara berdisiplin dengan pengasingan laluan khas mengikut jantina.
Kemeriahan dan kelancaran operasi reruai ini bagaimanapun tidak datang bergolek. Ia adalah hasil titik peluh dan semangat ukhuwah jentera parti di pelbagai peringkat Majlis Tindakan DUN (MTD).


Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang turut meluangkan masa menyantuni tetamu di reruai berkenaan berkata, persiapan rapi telah digerakkan lebih awal menerusi semangat gotong-royong.
“Kerja-kerja penyiapan lokasi telah dipelopori oleh anggota MTD Hulu Besut dan dibantu oleh MTD Kota Putera bermula awal pagi Rabu.
“Malah, mereka sanggup bermalam di tapak majlis bagi memastikan segala kelengkapan fizikal reruai bersedia sepenuhnya sebelum majlis bermula,” kata beliau ketika ditemui di lokasi majlis.
Tambah beliau, tugasan memasak pula diagihkan secara sistematik.


“Penyediaan menu utama Nasi Kerabu dan proses perapan serta pembakaran Ayam Golek telah digalas secara bersama oleh anggota dari MTD-MTD yang lain di bawah kawasan Besut.
“Bagi memastikan kelancaran pengedaran makanan dan tahap perkhidmatan yang terbaik kepada ribuan pengunjung, operasi menjaga reruai telah dibahagikan mengikut sistem syif yang dikendalikan oleh setiap MTD secara bergilir-gilir.” jelasnya.
Justeru itu, Ustaz Wan Azhar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Besu.
“Komitmen luar biasa YDP yang turun padang bertungkus-lumus mengerah keringat bersama jentera di tapak program sehingga lewat malam ternyata menyuntik motivasi dan semangat luar biasa kepada seluruh petugas.” ujarnyam
Kerjasama erat itu tegas beliau, umpama ”berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, bukan sahaja menterjemahkan kelazatan juadah dari Besut, malah berjaya mempamerkan keutuhan gerak kerja jemaah dalam meraikan sambutan Aidilfitri pada tahun ini.






























