Sambutan Luar Biasa Rumah Terbuka DUN Batu Rakit, Lebih 5,000 Hadir

125

SETIU – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Batu Rakit 2026 mencatatkan kehadiran luar biasa apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan, sekali gus mencerminkan penerimaan rakyat yang semakin memberangsangkan terhadap kepimpinan setempat.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, beliau amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat dari seluruh kawasan Batu Rakit dan sekitarnya.

“Alhamdulillah, majlis ini berlangsung dengan jayanya dengan izin Allah SWT. Kehadiran lebih 5,000 pengunjung benar-benar menyuntik semangat kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan, pegawai dan tok penghulu yang hadir memeriahkan majlis, selain memohon maaf atas sebarang kekurangan termasuk isu tempat duduk serta kesesakan lalu lintas.

Menurut Ustaz Shafizi, di sebalik kekangan tersebut, nilai kebersamaan, kasih sayang dan ukhuwah antara pimpinan dan rakyat jelas terserlah.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan gerak kerja jentera di peringkat DUN sedang berjalan lancar dengan semua sayap bergerak mengikut jadual program dan aktiviti yang telah ditetapkan.

“Penerimaaan rakyat terhadap parti hari ni agak memberansangkan. Alhamdulillah.

“Gerak kerja sedang dijalankan dengan semua sayap bergerak mengikut jadual program dan aktiviti yg telah ditetapkan,” jelasnya.

Mengulas mengenai program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa program tersebut berkata, penganjuran itu berjaya membuka mata masyarakat tentang kepentingan kesatuan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau Melayu.

“Kesatuan Melayu perlu dipulihkan dan antara langkah paling berkesan adalah melalui penghayatan Islam. Masjid dan surau perlu diperkasakan dengan pelbagai aktiviti bagi menyatukan ummah,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan dalam Islam menuntut dua ciri utama iaitu qawiy (berkemampuan) dan amin (amanah), yang hanya dapat dibentuk melalui ilmu dan kefahaman agama yang mendalam.

“Setiap pemimpin perlu meluangkan masa menuntut ilmu. Dengan itu, sifat integriti dan taqwa akan lahir secara semula jadi dalam diri mereka,” katanya.