KUALA TERENGGANU – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini secara rasminya dimasyhurkan sebagai Pemangku Raja Terengganu.
Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Dato’ Haji Azmal Haji Azaddin memaklumkan bahawa pemasyhuran tersebut telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkuat kuasa pada 15 April 2026 Masihi bersamaan 26 Syawal 1447 Hijrah.
Istiadat pemasyhuran berkenaan telah dilangsungkan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.


“Pelantikan dibuat berikutan Baginda Sultan akan beristirahat daripada semua tugas-tugas serta atur cara rasmi atas nasihat pegawai perubatan,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menjunjung titah perkenan tersebut, pihak Dewan Pangkuan DiRaja turut mengumumkan penangguhan Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keenam Puluh Empat Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 26 April ini.
Penangguhan itu merangkumi segala istiadat kebesaran, atur cara rasmi, serta program iringan yang berkaitan sehingga ke suatu tarikh baharu yang akan dimasyhurkan kelak.





























