Panggil Sidang Khas Parlimen Tangani Krisis Ekonomi – Abdul Hadi

164

KUALA NERUS – Presiden PAS, Dato Sri Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan segera bagi membincangkan isu ekonomi semasa yang semakin menekan rakyat.

Katanya, langkah tersebut penting bagi menghimpunkan pandangan semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang dalam mencari penyelesaian menyeluruh terhadap kenaikan harga minyak, inflasi serta isu tenaga global.

Menurutnya, krisis yang berlaku ketika ini tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan semua wakil rakyat.

“Kita cadang dia buat sidang khas parlimen. Sidang parlimen. Bincang di parlimen, sidang khas. Terima pandangan-pandangan semua. Patutnya PM.

“Patutnya begitu. Sebabnya kita dalam satu kapal. Bukan dirasakan oleh pemegang saja, semua rakyat rasa tanpa kita mati politik. Sebab itu perlu libatkan wakil-wakil rakyat pilihan dalam parlimen,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Khuliah Dhuha, pada Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke 5 Dan Himpunan Alam Melayu di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mengkritik kerajaan yang didakwa gagal menangani isu-isu utama negara termasuk pengangguran dan kos sara hidup.

Beliau juga menegaskan bahawa konsep federalisme tidak dihormati apabila negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat didakwa dipinggirkan.

“kerajaan tak mampu menghadapi isu-isu yang terkini yang masih gagal, pengangguran tak selesaikan semuanya. Masalah-masalah konsep federalisme tak dihormati dan kita dan negeri konsep federalisme mesti dihormati, negeri-negeri yang menang parti-parti pembangkang. Ini tidak. parti pembalak dipinggirkan. Itu bukan konsep federalisme,” tegasnya.

Mengulas situasi global, Abdul Hadi berkata konflik antarabangsa khususnya melibatkan Iran memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk kenaikan harga tenaga.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan Malaysia memanfaatkan sumber sedia ada serta memperkukuh kerjasama serantau bagi mengurangkan tekanan ekonomi terhadap rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa pembangkang masih mempunyai tempoh panjang sebelum sidang Parlimen akan datang dan kini memberi tumpuan kepada penyelarasan dalaman termasuk isu berkaitan undang-undang serta kerjasama antara parti komponen.

Katanya, sebarang keputusan melibatkan pembangkang akan dibuat secara bersama dengan mengambil kira pandangan semua parti termasuk dari Sabah dan Sarawak.