PN Kekal Gabungan Terkuat, Hamzah Disaran Sertai Blok Pembangkang – Shahidan

167

UALA NERUS – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berpandangan Hamzah Zainudin mempunyai dua pilihan utama dalam hala tuju politiknya sama ada menyertai parti sedia ada atau menubuhkan parti baharu.

Menurut beliau, langkah menubuhkan parti baharu boleh dilakukan, namun ia memerlukan masa untuk membina kekuatan akar umbi.

“Parti baharu tidak boleh berdiri kukuh dalam masa singkat kerana landskap politik Malaysia dikuasai parti yang sudah lama bertapak dan mempunyai penyokong tersendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Shahidan menegaskan, pilihan terbaik adalah menubuhkan parti baharu tetapi menyertai gabungan pembangkang yang kuat seperti Perikatan Nasional.

Katanya, PN ketika ini merupakan blok pembangkang paling kukuh dengan 74 kerusi Parlimen hasil gabungan PAS dan Bersatu.

Dalam masa sama, Shahidan turut mengkritik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim berhubung isu kenaikan harga minyak yang didakwa berlaku walaupun negara mempunyai simpanan petroleum.

“Kenapa pada hari ketiga perang harga minyak sudah naik? Sumber minyak kita bukan semuanya melalui Selat Hormuz, jadi datang dari mana kenaikan itu?

“Kita juga mempunyai simpanan minyak (reserve), jadi jika ada simpanan, kenapa harga masih mahal? Sekarang Selat Hormuz sudah dibuka semula, tetapi harga minyak tetap tinggi dan saya percaya dalam cara kenaikan ini, dia akan naik lagi, yang susah rakyat,” ujarnya.

Beliau juga membangkitkan isu peruntukan ahli Parlimen yang didakwa tidak disalurkan kepada pembangkang, sambil mencadangkan agar dana tersebut diberikan terus kepada rakyat yang sedang berdepan kesukaran ekonomi.

“Peruntukan Ahli Parlimen di potong.diorang dah tiga tahun dapat seorang sejuta lebih dan tahun ini dapat lagi 38 juta potong semua. Kami pihak pembangkang tak dapat, tak apa.

“Peruntukan tersebut bagi pada rakyat, rakyat tengah susah,” katanya.

Mengulas langkah pemulihan ekonomi, Shahidan mencadangkan kerajaan meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan termasuk pembinaan universiti baharu sebagai strategi jangka panjang.

Selain itu, beliau turut menggesa diwujudkan kawasan bebas berniaga di seluruh negara bagi merancakkan aktiviti ekonomi kecil seperti perniagaan runcit.

“Ekonomi rakyat boleh digerakkan melalui perniagaan kecil, manakala kerajaan perlu masuk secara langsung dalam pelaburan besar seperti pendidikan dan pembangunan kawasan baharu,” tambah beliau.