Sentuhan Kasih Syawal Buat Asnaf Dan Guru PASTI

162

DUNGUN – Seramai 156 asnaf dan 91 guru PASTI di DUN Paka menerima sumbangan menerusi program Sumbangan Syawal Sentuhan Kasih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, program seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan material, tetapi turut membawa mesej bahawa golongan yang memerlukan sentiasa diberi perhatian oleh masyarakat.

“Ada senyuman yang lahir bukan kerana hidup mereka mudah, tetapi kerana masih ada insan yang sudi menghulurkan tangan dan berkongsi sedikit kebahagiaan.

“Kadang-kadang, sedikit daripada kita sudah cukup besar maknanya buat mereka,” jelasnya dalam laman sosialnya, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, program seperti ini juga menjadi tanda bahawa mereka tidak dilupakan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang membantu menjayakan program tersebut.

“Tanpa sokongan para penyumbang dan sahabat-sahabat yang terlibat, mungkin majlis ini tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah dan membawa kegembiraan kepada mereka yang menerima, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Syawal,” katanya.

Program tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan di kawasan DUN Paka.