Jangan Berdiam Diri Terhadap Kemungkaran

21

KUALA TERENGGANU – Umat Islam perlu memainkan peranan aktif dalam menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran bagi mengelakkan masyarakat daripada terus terjerumus ke arah kerosakan yang lebih besar.

Presiden PAS, Tan Sri Dato Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam tidak mengajar umatnya untuk berdiam diri apabila kemungkaran semakin berleluasa.

Sebalik katanya, setiap Muslim mempunyai tanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar mengikut kemampuan masing-masing.

Menurut beliau, usaha mencegah kemungkaran boleh dilakukan sama ada melalui kuasa, nasihat atau sekurang-kurangnya membenci perkara tersebut di dalam hati.

“Manakala sikap membiarkan kemungkaran tanpa sebarang tindakan hanya akan membuka ruang kepada kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat.

“Sejarah yang dirakamkan dalam al-Quran menunjukkan bagaimana umat terdahulu dibinasakan apabila mereka terus tenggelam dalam dosa dan menolak peringatan para rasul,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Beliau menambah, bala Allah SWT tidak semestinya hadir dalam bentuk bencana besar, sebaliknya boleh berlaku dalam bentuk kesempitan hidup, hilangnya keberkatan, keruntuhan akhlak dan kemunculan golongan yang tidak layak memimpin masyarakat.

“Namun demikian, Allah SWT tidak bergantung kepada mana-mana kaum untuk mempertahankan agama-Nya. Apabila sesuatu kaum meninggalkan Islam, cuai terhadap amanah agama atau enggan memperjuangkan kebenaran, Allah akan menggantikan mereka dengan kaum yang lain yang lebih bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

“Kemuliaan tidak diberikan kerana keturunan atau bangsa, tetapi kerana iman, ketaatan dan kesungguhan mempertahankan agama Allah,” ujarnya.

Katanya, kemuliaan tidak diberikan berdasarkan keturunan atau bangsa, sebaliknya ditentukan oleh iman, ketaatan dan kesungguhan mempertahankan agama Allah.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya terus istiqamah menegakkan kebenaran dan menolak kemungkaran kerana selagi masih ada golongan yang berani mempertahankan Islam.

“Jangan merasa selesa dengan kedudukan yang ada, kerana kemuliaan boleh ditarik pada bila-bila masa.

“Selagi masih ada golongan yang berani mempertahankan Islam, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, selagi itulah rahmat dan pertolongan Allah akan terus bersama umat ini,” tambah beliau.