Kepimpinan Bersih dan Bebas Rasuah Jadi Penentu Kepercayaan Rakyat

363
Zul Bhari A Rahman

KUALA TERENGGANU – Rakyat yang semakin matang dan celik seharusnya mampu menilai negeri manakah yang dipimpin oleh kepimpinan yang bersih daripada isu rasuah dan salah laku.

Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari A Rahman berkata, PAS tidak memilih jalan menuding jari atau memuji diri secara berlebihan kerana Islam sendiri mengingatkan umatnya agar tidak mendakwa diri suci.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Najm ayat 32 yang bermaksud, “Janganlah kamu memuji-muji diri kamu; Dialah yang lebih mengetahui siapa yang bertakwa.”

Dalam konteks perbandingan pentadbiran, menegaskan bahawa Terengganu muncul sebagai negeri yang selamat, bahagia dan mencatat prestasi baik dalam usaha menolak rasuah selepas dipimpin oleh PAS,

“Sekali gus membuktikan keupayaan tadbir urus berasaskan nilai Islam.

“Sudah sampai masanya rakyat memberi kepercayaan kepada PAS untuk mengurus dan mentadbir negara, berdasarkan pengorbanan, jasa serta komitmen berterusan dalam menyelamatkan rakyat dan negara melalui Islam,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan Terengganu melalui pendekatan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS) berpunca daripada istiqamah bersama Islam, berserah kepada Allah SWT dan menjadikan aqidah, akhlak serta kesedaran dosa pahala sebagai asas pentadbiran.

Tambahnya, perjuangan menegakkan Islam dan membina negara yang adil bukanlah amanah yang mudah.

“Namun dengan disiplin kebersamaan serta nusrah daripada Allah SWT, PAS diyakini mampu kekal teguh sebagai wadah kepimpinan yang berintegriti dan diyakini rakyat.

“InsyaAllah, PAS akan terus berjaya memimpin ummah dan membina negara yang adil serta sejahtera untuk dunia dan akhirat,” ujarnya.