Saya ingin merujuk kepada kenyataan terkini oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC)yang menyatakan bahawa graduan perubatan dibenarkan menggunakan gelaran “Dr”.
Kenyataan ini menimbulkan kebimbangan serius dari sudut undang-undang, keselamatan pesakit dan integriti sistem kawal selia perubatan negara.
1. Kelayakan Akademik dan Pengiktirafan Universiti.
Di Malaysia, kelayakan perubatan hanya diiktiraf jika diperoleh daripada universiti atau institusi yang diperakukan oleh MMC, selaras dengan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan peraturan di bawahnya.
Sekiranya sesebuah universiti atau instutisi tidak diiktiraf, maka secara prinsip dan amalan kawal selia, kelulusan tersebut tidak melayakkan seseorang untuk diiktiraf sebagai graduan perubatan yang sah di Malaysia, apatah lagi untuk menggunakan gelaran profesional “Dr” dalam konteks awam.
Dalam kes ini, terdapat persoalan yang munasabah berkaitan pengajian perubatan oleh YB Taufik Johari di institusi luar negara yang tidak diiktiraf. Perkara ini wajar disiasat secara telus, kerana pengiktirafan universiti adalah asas kepada legitimasi gelaran dan kelayakan perubatan.
2. Dakwaan Amalan Perubatan Tanpa Pendaftaran.
Lebih membimbangkan, berdasarkan maklumat yang dipaparkan secara terbuka dalam resume calon pilihan raya, individu yang sama didakwa pernah disenaraikan sebagai “General Practitioner” di sebuah klinik di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2022.
Jika benar berlaku, sebarang bentuk amalan perubatan tanpa pendaftaran MMC dan tanpa Annual Practising Certificate (APC) merupakan kesalahan di bawah Akta Perubatan 1971 dan bukan isu teknikal atau pentadbiran semata-mata. Ia adalah isu keselamatan pesakit dan penguatkuasaan undang-undang.
3. Risiko Penyalahgunaan Gelaran “Dr”.
Keputusan atau kenyataan yang membenarkan penggunaan gelaran “Dr” oleh individu yang memperoleh sijil daripada institusi tidak diiktiraf membuka ruang yang sangat berbahaya, antaranya:
– Penyalahgunaan gelaran untuk keuntungan perniagaan (contoh: klinik, produk kesihatan)
– Manipulasi kepercayaan awam dalam konteks politik.
– Kekeliruan masyarakat sehingga menjejaskan keselamatan dan hak pesakit. Gelaran “Dr” bukan sekadar simbol akademik malah turut membawa autoriti, kepercayaan dan implikasi keselamatan awam.
4. Tuntutan dan Tindakan.
Sehubungan itu, kami :
– Mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh ke atas YB Taufik Johari kerana menjalankan amalan perubatan tanpa kebenaran berdasarkan Akta Perubatan 1971.
– Menuntut penjelasan rasmi daripada MMC mengenai asas undang-undang yang digunakan untuk membenarkan penggunaan gelaran “Dr” dalam kes melibatkan insitusi pendidikan perubatan yang tidak diiktiraf.
– Menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan mesti diambil tanpa memilih bulu, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Kami ingin menegaskan bahawa Perikatan Nasional tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut, sekiranya terdapat sebarang cubaan untuk menutup, melengah atau mengaburi fakta dalam isu yang menyentuh keselamatan pesakit dan integriti sistem kesihatan negara.
Isu ini bukan soal politik kepartian, tetapi soal kedaulatan undang-undang, keselamatan awam dan kepercayaan rakyat terhadap profesion perubatan di Malaysia.
YB DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Ahli Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat
PENGERUSI JAWATANKUASA KESIHATAN
AHLI PARLIMEN PERIKATAN NASIONAL




























