PAS Sedia Melangkah Tahun Baharu, Hadapi PRU

389

HULU TERENGGANU – PAS Terengganu bersedia untuk melangkah kehadapan, tahun baharu 2026 dengan melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-16.

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, PRU berkemungkinan akan berlaku seawal awal tahun 2027.

“PRU kali ini adalah pilihan raya yang kita akan melangkah bersama. Peluang yang diberikan kepada saya pada tahun lepas memberi ruang baharu kepada Jabatan Penerangan PAS Terengganu,

“untuk menyediakan peluang terbaik kepada kita duduk secara bersama dan berbincang, membentuk tenaga, kakitangan dan orang-orang yang menggembleng tenaga bagi melaksanakan serta mencapai rentak kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Permukiman (Retreat) Lajnah Penerangan PAS Terengganu, bermula 28hb hingga 29hb Disember, di Tasik Kenyir.

Tegasnya, tanggungjawab telah diberikan kepada Jabatan Penerangan PAS Terengganu antaranya melalui mesyuarat yang telah diamalkan secara mingguan, sejak sekian lama.

“Walaupun ia membebankan dan memakan masa, kadang-kadang ia berkesan dan ada kalanya tidak berkesan serta diputuskan secara tidak bersama disebabkan faktor kehadiran, lebih-lebih lagi apabila berlaku isu besar.

“Apabila tiada isu, ada kalanya semangat kehadiran menurun dan seolah-olah tidak merasakan keperluan untuk hadir bermesyuarat,” katanya.

Justeru, apa yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh Jabatan Penerangan membolehkan pihak Lajnah mengenal pasti kekuatan tenaga kerja serta meletakkan ahli mengikut posisi yang bersesuaian.

“Tanggungjawab yang diberikan kepada kita dalam Lajnah Penerangan adalah untuk memberi respons terhadap isu-isu besar dan memastikan perkara itu tidak dibiarkan tanpa tindakan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, Permukiman yang diadakan bertujuan untuk memuktamadkan perkara yang sepatutnya dilaksanakan di peringkat negeri.

“Sekarang kita berkumpul secara beramai-ramai untuk memuktamadkan apa yang sepatutnya kita lakukan di peringkat negeri.

“Kita tidak masukkan lagi dalam bab berbicara berkaitan mewar-warkan kebaikan yang PAS buat,” katanya.