Kerajaan Kena Jujur Dengan Rakyat Tentang Kedaulatan Negara

400
Ustaz Hamdi Harun

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), berpendirian kerajaan perlu bersikap jujur dan telus dengan rakyat Tentang kedaulatan berhubung perjanjian perdagangan diantara Malaysia Dan Amerika Syarikat.

Ketuanya, Ustaz Hamdi Harun berkata, ramai warga negara yang bimbang dengan persetujuan yang dimeterai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“ramai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin kerajaan sendiri sudah menzahirkan kebimbangan terhadap perjanjian tersebut, antaranya Mantan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Bukan pembangkang saja yang bimbang, malah ada juga pemimpin kerajaan yang risau tentang isi perjanjian ini.

“Pemuda Terengganu sendiri telah meneliti kandungan dokumen tersebut dan mendapati terdapat beberapa klausa yang mencurigakan serta boleh menjejaskan kedaulatan dan kebebasan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu tampil memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat mengenai isi sebenar perjanjian itu, terutamanya tiga perkara utama yang dianggap berisiko tinggi.

Antaranya, Artikel 5.1 yang mewajibkan Malaysia mengikut sekatan perdagangan Amerika Syarikat terhadap mana-mana negara atas alasan keselamatan atau ekonomi.

“Ini bermakna dasar luar negara kita boleh terikat dengan keputusan Amerika.

“Ia amat berbahaya kerana Malaysia selama ini terkenal sebagai negara berkecuali,” jelasnya.

Selain itu, Artikel 3.3 menetapkan Malaysia perlu berunding dengan AS sebelum menandatangani sebarang perjanjian digital dengan negara lain.

“Macam mana boleh negara luar tentukan dengan siapa kita nak buat perjanjian? Ini melanggar prinsip kedaulatan,” tegas beliau.

Manakala Artikel 6.2 pula melarang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan kepentingan negara sendiri sekiranya menjejaskan barangan atau perkhidmatan Amerika.

“Kalau ini benar-benar dilaksanakan, ia boleh menyekat usaha kerajaan membantu industri tempatan dan menjejaskan daya saing ekonomi negara,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, jika klausa-klausa itu tidak diperbetulkan, Malaysia berisiko hilang kebebasan membuat keputusan sendiri dalam hal ekonomi dan dasar luar.

“Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai pak turut Amerika.

“Pemuda Terengganu mendesak kerajaan berterus terang dengan rakyat dan jangan gadai kedaulatan negara demi kepentingan politik atau tekanan luar,” ujarnya.