KUALA TERENGGANU – Kelemahan didikan agama dan asas rohani dalam institusi keluarga menjadi antara punca utama generasi hari ini mudah terjebak dalam gejala sosial dan kehilangan arah panduan hidup.
Ketua Ameerah Hulu Terengganu, Widad Ismail berkata, pendidikan sebenar tidak bermula di sekolah, tetapi di rumah melalui contoh dan qudwah yang ditunjukkan oleh ibu bapa sendiri.
Katanya, ibu bapa merupakan pencorak utama keperibadian anak-anak kerana mereka adalah guru pertama sebelum anak mengenal sekolah dan masyarakat.
“Sebelum anak mengenal guru dan masyarakat, ibu bapalah yang menjadi contoh pertama. Kalau asas agama di rumah kukuh, insya-Allah anak-anak akan kuat menghadapi ujian walau di mana pun mereka berada,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Podcast EH Studio Anjuran Ameerah Terengganu, pada 30 Oktober lalu.
Menurut beliau, pengaruh ibu bapa dalam membentuk nilai dan prinsip hidup anak-anak jauh lebih besar daripada pengaruh sekolah atau persekitaran luar.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pendidikan sejak kecil berkait rapat dengan pengaruh emosi dan rohani ibu bapa.
“Anak-anak belajar melalui pemerhatian dan akan meniru segala perlakuan ibu bapa dalam kehidupan seharian,” ujarnya.


Widad turut menegaskan bahawa pendidikan rohani dan nilai Islam mesti diterapkan secara berterusan sejak kecil agar menjadi benteng kukuh ketika berdepan cabaran kehidupan moden.
“Bila asas agama longgar, anak-anak mudah goyah dan hilang arah. Sebab itu kita lihat banyak gejala sosial berlaku kerana tiada panduan agama yang mantap dari rumah,” jelasnya.
Justeru itu, beliau turut menyeru ibu bapa agar sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri, bukan hanya menyalahkan pihak lain semata-mata.
“Ibu bapa mesti sedar bahawa tanggungjawab membentuk akhlak bukan boleh diserah kepada sekolah semata-mata. Rumah adalah madrasah pertama yang menentukan corak generasi akan datang,” tegasnya.
Widad mengumpamakan keluarga ibarat pokok yang tumbuh subur dengan baja dan air yang cukup, pasti akan menghasilkan buah yang ranum.
Begitu juga katanya, anak-anak yang dibesarkan dalam suasana rumah tangga yang berteraskan nilai agama dan kasih sayang, akan menjadi insan kuat menepis ujian kehidupan.
Widad menambah, kekuatan keluarga bermula daripada hubungan berteraskan iman, kasih sayang dan doa yang konsisten.
“Kalau asas di rumah kuat, walau datang apa ujian sekalipun, anak-anak akan tetap teguh dan reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Widad menegaskan, ibu bapa perlu bijak mengawal emosi ketika berhadapan dengan kesilapan anak-anak dan sentiasa bermuhasabah diri agar tidak menjadikan ego sebagai penghalang dalam mendidik.
“Kadang-kadang ibu bapa terlalu merasakan diri betul, sedangkan anak juga manusia yang perlu dibimbing dengan kasih sayang. Jangan malu mengaku salah di hadapan anak kerana itu mengajar mereka nilai rendah diri dan kejujuran,” tambahnya lagi




























