Sanah Helwah Ayah Chik!

70

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

“Ayah Chik,,Dr Abu Ayesh an Najjar ,aktivis di Gaza kirim salam pada Ayah Chik” kataku memecah ruang kata diakhir program ulang tahun kedua Taufan Al Aqsa di Dataran khairunnisak Kuala Terengganu. Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam itu bertenaga mencerahkan akal ribuan khalayak pada dua malam lepas. Isu Palestine bertakhta dihati sosok ulama haraki ini, pelbagai tulisannya tentang tanah israk. Malam itu Ayah Chik bercerita tentang sejarah luka ardhul ambiya’, hujan merintik perlahan dihujung ceramah namun penonton tak berkutik. Aura Presiden PAS itu sangat besar membius akal pendengar, muntahan isi isi ceramahnya dikunyah santai walaupun berat untuk dihadam selepas jam 11.00 malam!.

Itulah karektor sebenar Ayah Chik yang aku kenali dan kalian kenali, namun para pembenci tak pedulikan itu semua kerana mereka sudah mewarnakan hitam pada apa sahaja berkaitan dengan tuan guru. Lihat sahaja komen-komen toksid dipelbagai portal maya terhadap Presiden PAS ini. Tidak bersahabat malah seperti orang gasar watak kelakunya.

Tuan guru dengan sikap pemaaf dan tak peduli akan kecaman para pembenci terus bergerak kemana sahaja, turut diheret jasadnya, sekali dengan ilmu yang akan keluar daripada akal dan mulutnya. Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca. Hampir seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir islam. Aku pernah menjadi saksimata bagaimana tekunnya sang ulama ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas.

Tidak pelik akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis. Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekali pun, pahala tetap mengalir. Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Banyak juga buku-buku lama Ayah Chik diberi nafas baru oleh penerbit baru, industri buku tidak lagi meriah namun jualan buku secara maya masih lagi rancak. Buku tafsir at Tibyan adalah magnum opus yang menyaksikan beberapa orang sahaja ulama nusantara mempunyai kemampuan menulis kitab tafsir Al Quran.

Seluruh hidupnya diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, walau sesibuk mana sekali pun menggalang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

Ayah Chik adalah tokoh penyatuan ummah,pengalaman dalam gerakan Islam sejak zaman remaja sehingga menoreh tinta emas pada kanvas kehidupan. Beliau terlibat dengan banyak isu menyatukan perbalahan seperti di Acheh, Yaman, Iraq dan sebagainya.Saat belahan negara Arab sedang dibadai fenomena Arab Spring, pandangan beliau dipinta oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam di Timur Tengah. Bagaimana harus untuk gerakan Islam memanfaatkan ruang untuk berpencak dipentas demokrasi persaingan kuasa, mengurangkan intriq antara pesaing dan juga memicu perubahan dalam ruang demokratik yang dibenarkan. Ikhwanul Muslimin akhirnya menubuhkan sayap politiknya, FJP serta berjaya mengadakan pemuafakatan politik dengan parti-parti yang lain. Nasihat Sheikh Abdul Hadi umpama ketulan-ketulan emas pengalaman yang sangat bernilai kerana PAS yang dipimpin oleh beliau telah memasuki dekad ke tujuh bertarung dimedan dakwah, tarbiah serta siasah.

Apa yang abnaul harakah perlu belajar daripada Ayah Chik?, pertama ialah, bagaimana masa dan kehidupan perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masa kehidupan adalah modal yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Seorang pemimpin dan ahli-ahli tetap mempunyai masa yang sama dalam sehari, namun bagaimana untuk menguruskan masa semoga menjadi ketulan zamrud yang bermanfaat kepada ummat.

Bagaimana memanfaatkan masa jika kita habiskan dengan berlabun, berlamaan dengan gajet, menonton televisi, mengumbar, tidur yang panjang, rehat yang tak kesudahan?. Berapakah masa yang kita peruntukkan untuk membaca dalam sehari, masa yang diperuntukkan untuk mengkaji dan mentadabbur ayat-ayat al Quran?. Ramai kalangan kita sentiasa kagum dan teruja dengan tokoh-tokoh hebat dalam perjuangan Islam, al Banna dan angkatannya, juga tokoh – tokoh dalam tanahair seperti almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, almarhum Ustaz dato Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Ustaz Hasan Shukri. Namun adakah kita mengambil iktibar dan bercermin dengan tokoh- tokoh ini memanfaatkan masa mereka untuk ummah?.

Bagi aku, Ayah Chik mengajar kita semua agar menakluki setiap detik inci masa dengan kerja bermanfaat,terutama sang pemimpin. Mencerahkan akal masyarakat dengan ucapan dan tulisan, menjauhi intriq dan polemik, apatah lagi obses dengan harta benda melalui jawatan yang dipegang. Jom, Kita belajar sesuatu daripada Ayah Chik sempena hari ulangtahun kelahiran tokoh murabbi ummah ini yang ke 78. Sanah helwah Ayah Chik, moga terus memimpin kami semua menggalang gerakerja Amal Islami!.

(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)