Bukan Tamak, Tetapi Langkah Rasional

231

KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan hasrat parti itu untuk menerajui kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bukanlah kerana tamak atau sombong, ebaliknya ia adalah langkah rasional berasaskan kekuatan semasa dan demi memastikan gabungan lebih stabil.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Dato’ Ustaz Mat Nor Hamzah, parti itu sebelum ini telah menerima kepimpinan BERSATU dalam PN.

“Sejak kenyataan PAS mengenai kepimpinan PN disuarakan, pelbagai kritikan dilemparkan termasuk tuduhan tidak menghormati rakan gabungan, bersikap tamak, serta tidak mampu menang tanpa sokongan parti lain.

“Namun, PAS menegaskan bahawa ia hanyalah cadangan bagi memperkukuh kerjasama dalam PN,” jelas beliau yang juga, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, dalam laman sosialnya hari ini.

Mengulaslanjut isu tersebut beliau menambah, tidak salah sekiranya kali ini BERSATU pula memberi ruang kepada PAS untuk menerajui gabungan, memandangkan kerjasama politik seharusnya bersifat saling melengkapi.

“Dari segi kelayakan, PAS memiliki jumlah kerusi lebih banyak berbanding rakan gabungan, keahlian akar umbi yang lebih besar, dan barisan pimpinan berpengalaman yang diyakini mampu memimpin negara.

“Hasrat ini bukanlah soal perebutan kuasa, tetapi usaha memastikan PN terus kukuh dan mampu memimpin Malaysia dengan lebih berwibawa,” ujarnya.