DHPP Tekad Perkukuh Politik Nilai, Tampil Wajah Sebenar Islam

77

KUALA TERENGGANU – Sayap Baharu, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh politik nilai dengan menampilkan wajah sebenar Islam yang penuh kasih sayang, adil dan rahmah kepada masyarakat pelbagai kaum serta agama di Malaysia.

Ketuanya, Balasubramaniam Nachiappan berkata, rakyat ketika ini semakin muak dengan retorik politik dan sedang mencari alternatif yang berprinsip, bertanggungjawab serta mampu membawa kestabilan negara.

“DHPP bukan sekadar pelengkap struktur organisasi PAS, bahkan merupakan rakan setia perjuangan Islam yang dibawa parti sejak sekian lama. Prinsip utama perjuangan DHPP adalah selari dengan PAS iaitu membawa rahmat Islam untuk semua (rahmatan lil-‘alamin), tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

“Islam bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk seluruh umat manusia. Islam mengajar kita berlaku adil dan menghormati hak semua. DHPP akan terus membawa mesej ini kepada masyarakat bukan Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh ahli PAS dan Bersekutu memperbaharui ikrar perjuangan dan turun ke medan bukan sebagai pemerhati, tetapi sebagai pejuang demi kemenangan Islam di bumi Malaysia.

“Menurutnya, DHPP beriltizam untuk menjadi jambatan yang menangkis tuduhan tidak benar sekaligus menampilkan wajah Islam yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam dengan pendekatan yang lembut dan berhikmah.

“Islam bukan untuk satu bangsa sahaja, tetapi untuk semua umat manusia.

“Tanggungjawab DHPP ialah memastikan mesej ini sampai kepada mereka yang belum memahami keindahan Islam,” ujar beliau.

Katanya lagi, perjuangan DHPP bukan sekadar melengkapkan struktur organisasi PAS, sebaliknya menjadi rakan setia dalam mengangkat gagasan rahmatan lil-‘alamin yang diperjuangkan parti sejak sekian lama.

“DHPP akan berusaha menangkis fitnah, memecah tembok persepsi dan menampilkan wajah sebenar Islam yang penuh kasih sayang dan hikmah.

“Muktamar ini adalah medan membina kekuatan dan strategi untuk mara ke hadapan, bukan sekadar bercakap.

“Bersama PAS, kita mara menuju kemenangan!” tegasnya menutup ucapan.