‘Perdana Menteri Mesti Bawah 70 Tahun’ – Presiden PAS

343

ALOR SETAR – Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Perdana Menteri (PM) mestilah seorang yang berintegriti, sihat tubuh badan serta berusia bawah 70 tahun.

Menurutnya, al-Quran sendiri telah memberikan panduan bahawa pemimpin mesti berilmu, berwibawa dan beramanah untuk memikul tanggungjawab besar mentadbir negara.

“PM mestilah berintegriti, sihat dan kuat, di samping berusia bawah 70 tahun. Saya tak layak la, tapi dalam PAS dan PN kita ramai calon yang memenuhi kriteria ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-71 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan fokus utama PAS ketika ini adalah memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terlebih dahulu sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri yang layak.

“Kita bersedia untuk memimpin Malaysia, tetapi keutamaan kita adalah menang pilihan raya dahulu dan mendapat sokongan majoriti.

“Apabila menang, soal siapa Perdana Menteri akan diputuskan secara dalaman oleh Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS dalam muktamar tahunannya telah mencadangkan agar calon Perdana Menteri daripada PN datang daripada PAS sendiri, sebagai gambaran keyakinan bahawa PAS memiliki tokoh yang layak dan diyakini rakyat.

Antara nama yang sering disebut oleh Pemuda PAS termasuklah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Sanusi Md Nor, yang dilihat berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.

Cadangan tersebut menggambarkan kesungguhan sayap muda parti bahawa PAS bukan sekadar rakan gabungan dalam PN, tetapi mempunyai kapasiti untuk mengemudi Malaysia dengan kepimpinan berwibawa, segar dan menepati tuntutan rakyat.

Penegasan Tuan Guru Abdul Hadi hari ini dilihat mengukuhkan lagi aspirasi itu, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada tokoh PAS untuk dipertimbangkan sebagai Perdana Menteri sekiranya PN diberi mandat pada PRU16.