Bismillahirahmanirahim
Segala puji-pujian hanya untuk Allah serta selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad sallallahu ‘ alaihi wassalam
Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [Al Hujuraat: 13]
Allah menegaskan, tidak ada bezanya, antara lelaki dan perempuan (wanita) tetapi yang dimuliakan adalah ketaqwaan seseorang itu di sisi Allah.
Wanita yang bertaqwa itu samada ia sebagai seorang individu, isteri, ibu dan anggota masyarakat mestilah menjadikan Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam kehidupan.
Selaku individu muslim, wanita perlu sedar dan bertanggungjawab untuk membentuk masyarakat agar melakukan amal makruf dan mencegah kemungkaran, mendidik anak-anak menjadi bangsa yang tahu dan dapat membezakan antara nilai baik dan buruk.
Dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat di negara Malaysia yang pelbagai kaum ini, wanita muslim mestilah berganding bahu bersama-sama rakan-rakan ‘non-muslim’ dalam memperjuangkan hak-hak wanita mendapat keadilan dan menolak rasuah serta amalan penyelewengan.
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu melahirkan rasa sedih dan kesal kerana dalam keadaan negara yang makmur dan negeri Terengganu yang ‘kaya’, tragedi kemiskinan terus melanda kehidupan.
Kisah-kisah wanita berkerluarga yang dhaif seringkali dipaparkan dalam media, sehinggakan ada yang terpaksa menjadikan ‘kandang kambing’ sebagai tempat berteduh, tinggal di rumah-rumah yang buruk dan usang.
Kaum wanita juga terus menjadi mangsa dan menderita, dalam keadaan ekonomi yang didakwa ‘tumbuh’ dengan hebat, ada diantara ibu-ibu yan terhimpit ‘sesak’ mengharungi kehidupan, sehingga ada yang tidak mampu untuk beli susu bagi membesarkan anak-anak mereka.
Kerajaan Negeri Terengganu yang mempunyai bajet tahunan tertinggi di antara negeri-negeri di Malaysia sepatutnya memberi keutamaan kepada permasalahan ini, dan bukannya kepada projek-projek yang hanya memberi laba kepada kroni .
Wanita-wanita yang menjadi ‘penjaga dapur’ juga akan terpaksa menghadapi peningkatan perbelanjaan isi rumah apabila harga barang dan perkhidmatan, meningkat apabila cukai GST dilaksanakan pada 1 April 2015.
Waktu ini juga, kami percaya, ramai dikalangan warga wanita yang sudah terpaksa ‘mengikat perut’ kerana harga minyak yang telah kembali meningkat!
Kerajaan perlu mencari suatu mekanisma untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang luas untuk rakyat mencari rezeki, terutamanya kepada anak-anak perempuan lepasan sekolah dan university, yang masih ramai menganggur.
Program untuk menambahbaikkan kehidupan ibu-ibu tunggal yang ramai tidak terbela, bukan hanya sekadar wang ringgit bahkan keperluan membentengi hidup mereka dengan akhlak dan moral, agar tidak ada lagi yang ‘tersepit’ sehingga terpaksa menjual maruah untuk mencari rezeki.
Dengan kadar kejadian rogol dan kelahiran anak-anak tidak sah taraf terus mengingkat dan gangguan seksual berleluasa saban tahun, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyeru kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 2001 sepenuhnya dengan segera.
Kami memuji langkah MAIDAM yang telah melaksanakan hukuman takzir ke atas wanita yang berpakaian tidak sopan dan kenyataan Menteri Besar menunjukkan, ianya positif dan bermakna tiada alasan lagi untuk ia tidak boleh dilaksanakan Hudud dan Qisas, sepenuhnya.
Kami juga memandang serius isu perkhidmatan kesihatan dan menggesa pihak kerajaan menyelesaikan segera kes kekurangan katil dan ruang wad bersalin di Hospital Sultanah Nurzahirah yang sudah tidak mampu menampung kapasiti pesakit. Masalah ini telah berlarutan sekian lama sehingga pernah berlaku wanita bersalin di atas ‘usungan’ yang amat memalukan dan menjatuhkan mertabat ibu-ibu yang mulia.
Oleh itu Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu mengharapkan seluruh wanita agar sedar dan peka terhadap persekitaran dan isu semasa dan bangkit menjadi suara yang lantang, menyanggah segala kepincangan!
Selamat Menyambut Hari Wanita 2015
Puan Safinah bt. Jusoh
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu
16 Jamad al-Awwal 1436H/ 7hb Mac, 2015.


























