Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ، وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ، كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.
“Sesiapa yang mengikuti jalan menuntut ilmu, nescaya Allah akan membawanya jalan menuju ke syurga. Sesungguhnya, para malaikat merendahkan sayapnya kerana reda terhadap penuntut ilmu. Sesungguhnya, seseorang yang alim itu dimohonkan keampunan (istighfar) baginya oleh penduduk langit, bumi dan makhluk di dalam air. Sesungguhnya, kelebihan seseorang yang alim mengatasi seorang ahli ibadat, laksana kelebihan bulan purnama di tengah bintang cakerawala. Sesungguhnya, para ulama’ pewaris kepada harta peninggalan para anbiya’. Sesungguhnya, para anbiya’ tidak meninggalkan harta pusaka daripada dinar dan dirham. Namun, mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang menerimanya, nescaya dia telah mendapat habuan yang lumayan.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, no. 3641, daripada Abu al-Darda’]
Para anbiya’ ialah pilihan Allah dalam kalangan manusia yang terbaik. Mereka wajib bersifat benar (siddiq), amanah, berani menyampaikan (tabligh), bijaksana (fatanah) dan mempunyai sifat ‘ismah (terpelihara daripada dosa dan kejahatan) kerana mereka menjadi ikutan dan teladan kepada seluruh manusia, bukan sahaja menyampaikan ilmu daripada Allah.
Para anbiya’ menerima ilmu wahyu daripada Allah dan dikurniakan kebijaksanaan yang luar biasa serta akhlak dan moral yang paling mulia dalam kalangan manusia. Kehidupan mereka disaksikan oleh kaum masing-masing sejak awal hingga akhir hayat mereka.
Para anbiya’ ditugaskan untuk menyampaikan ilmu daripada Allah supaya manusia melaksanakan tugas yang menjadi tujuan mereka diciptakan. Allah mencipta manusia dengan tiga tujuan:
Pertama: Beribadah, iaitu menjadi hamba yang patuh kepada Allah sebagaimana firman-Nya:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi diri kepada-Ku. (56) Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku juga tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. (57) Sesungguhnya, Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. [58]” [Surah al-Zariyat: 56–58]
Kedua: Berkhilafah, iaitu berpolitik dan mentadbir urusan dunia dengan al-din (Islam). Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Ketiga: Beramanah, iaitu menunaikan amanah dengan bersikap adil kepada semua. Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]
Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Maka, para anbiya’ bukan sahaja menerima ilmu, bahkan mereka turut melaksanakan tugas dakwah menyampaikan ilmu kepada semua manusia, bermula daripada rakyat biasa sehinggalah kalangan yang paling berkuasa. Hal ini menyebabkan mereka mengharungi perjuangan yang getir dan pengorbanan yang besar apabila dicabar oleh kalangan yang menolaknya kerana nafsu mengatasi akal yang menyebabkan para anbiya’ dizalimi sehingga difitnah, diseksa malah ada yang dibunuh oleh kaum mereka, khususnya oleh pihak yang berkuasa kerana dianggap musuh yang mencabar kedudukan mereka.
Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣
“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Para anbiya’ pada zaman masing-masing menghadapi rakyat dan ketua negara di tempat masing-masing. Mereka terpaksa menghadapi golongan yang zalim yang mempengaruhi rakyat.
Nabi Nuh AS berdepan dengan al-mala’ (golongan pembesar) yang menentangnya. Manakala Nabi Ibrahim AS pula menghadapi Raja Namrud dan pengikutnya. Sedangkan Nabi Musa AS menghadapi Raja Mesir yang bergelar Firaun, manakala Nabi Muhammad SAW menghadapi pemimpin Arab dan kuasa besar dunia. Perjuangan tersebut kemudiannya disambung oleh para ulama’ yang menerima pusaka ajaran dan perjuangan para anbiya’.
Ada kalangan para anbiya’ yang menjadi korban kezaliman bersama para ulama’, firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بَِٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١
“Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih.” [Surah Ali ‘Imran: 21]
Walaupun para anbiya’ berjuang secara percuma, tidak bergaji dan tidak mengambil upah, namun mereka tetap melaksanakan amanah yang diperintahkan oleh Allah. Firman Allah SWT:
فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَمَا سَأَلۡتُكُم مِّنۡ أَجۡرٍۖ إِنۡ أَجۡرِيَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِۖ وَأُمِرۡتُ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ٧٢
“Jika kamu berpaling (daripada peringatanku), aku tidak meminta upah sedikit pun daripadamu. Sesungguhnya, upahku tidak lain hanyalah daripada Allah belaka, dan aku disuruh supaya aku termasuk dalam golongan orang-orang yang berserah diri (kepada-Nya).” [Surah Yunus: 72]
Ada nabi yang memimpin negara, antaranya Nabi Daud AS yang menjadi khalifah, Nabi Sulaiman AS menjadi raja dan Nabi Muhammad SAW menjadi ketua negara. Namun, para anbiya’ tidak pernah menyerah kalah sehingga golongan yang zalim dijatuhkan pada zaman mereka atau oleh para pengikut selepas mereka.
Allah mewajibkan adanya golongan pelajar yang menuntut ilmu dan bertafaqquh (memahami) dalam perkara al-din (Islam), kemudian menyampaikannya kepada orang ramai. Firman Allah SWT:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu keluar semuanya berjuang (ke medan perang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama (tafaqquh fi al-din), dan supaya mereka dapat mengajar (memberikan peringatan) kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).” [Surah al-Tawbah: 122]
Para ulama’ yang menjadi pewaris dan menerima pusaka ilmu daripada para anbiya’ wajib mengikuti teladan mereka dengan berakhlak mulia, bersifat benar, amanah dan bijaksana, serta menjaga diri daripada sifat-sifat yang buruk. Bahkan, mereka turut berdakwah dan berpolitik, bukan sekadar mengajar tanpa perjuangan.
Sejarah Islam dicatat dengan tinta emas melalui kelahiran para pemimpin dan ulama’ yang bergelar khalifah dan raja, yang berjaya memerintah negara-negara kuasa besar selama beberapa abad lamanya dalam wilayah yang luas, merangkumi tiga benua, iaitu Asia, utara Afrika dan selatan Eropah. Mereka mencipta tamadun Islam dalam ilmu agama dan dunia yang dicatat dalam penulisan buku-buku yang terpelihara sehingga kini, dan banyak daripadanya masih dimanfaatkan oleh dunia pada hari ini.
Hal ini terbukti apabila urusan dunia dipisahkan daripada agama, seperti yang dilakukan oleh Barat yang memplagiat tamadun Islam tanpa al-din, akhirnya membawa bencana kepada dunia kini.
Semua imam daripada pelbagai mazhab adalah pewaris para anbiya’ yang berjasa, begitu juga para Khulafa’ al-Rasyidin, Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan raja-raja yang adil. Sebahagian daripada mereka menjadi mangsa sehingga dibunuh, seperti Khalifah ‘Umar, Khalifah ‘Uthman dan Khalifah ‘Ali RA, manakala Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz pula meninggal dunia kerana diracun, bukan kerana kezaliman, tetapi kerana keadilannya.
Para imam daripada semua mazhab yang muktabar seperti Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, Zahiri, Imamiyyah, Zaidiyyah, Ibadi dan lain-lain yang bersaudara sama-sama berkorban dan difitnah kerana berani memberikan nasihat kepada kerajaan yang zalim, sehingga mereka dituduh sebagai penderhaka, Khawarij dan sebagainya. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang dipenjarakan dan dibunuh. Semua mereka meninggalkan kitab-kitab yang muktabar yang terus dikaji dan menjadi rujukan sehingga kini.
Namun, para ulama’ tidak semuanya terpelihara sebagaimana para anbiya’ AS. Ada yang khianat dengan mencari kesenangan dunia, menyembunyikan ilmu dan melupakan akhirat. Lebih menyedihkan, ada juga yang menjadi pengampu dan memuja sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin walaupun zalim, sehingga mengkhianati ilmu pusaka para anbiya’. Sabda Rasulullah SAW:
مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ، يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.
“Setiap nabi yang diutuskan oleh Allah kepada umat sebelumku, dalam kalangan umatnya terdapat sahabat-sahabat yang setia dan patuh kepada ajarannya serta mengikut perintahnya. Kemudian, selepas mereka, muncul kalangan yang menyeleweng, yang berkata tentang perkara yang tidak mereka amalkan dan mengamalkan perkara yang tidak diperintahkan (kemungkaran). Sesiapa yang berjihad menghadapinya dengan tangannya, maka dia beriman. Sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, maka dia beriman, dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya dengan membenci kemungkaran tersebut, maka dia beriman. Namun, tidak ada lagi iman selepas itu walaupun sekecil biji yang paling halus.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 50, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
Selain itu, ada kalangan mereka yang berilmu itu tidak amanah, sehingga mereka menyembunyikan ilmunya apabila berdepan dengan pihak yang berkuasa. Mereka dilaknat oleh Allah dan semua makhluk-Nya. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩
“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat (pula) oleh semua (makhluk) yang melaknat.” [Surah al-Baqarah: 159]
Di samping itu, ada juga kalangan yang mencari makan daripada pihak yang berkuasa. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤
“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka dan bagi mereka seksa yang amat pedih.” [Surah al-Baqarah: 174]
Bahkan, ada yang diperalatkan laksana anjing suruhan, firman Allah SWT:
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَالَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175-177]
Golongan inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali RH sebagai ulama’ jahat (ulama’ su’), manakala sebahagian lain menyebut dengan ulama’ sultan, iaitu golongan yang mengampu dan memuji sesiapa sahaja yang berkuasa memerintah negara. Termasuk dalam kalangan mereka ialah pihak yang menyokong penjajah bukan Islam pada zaman penjajahan dahulu, sehingga menamakan penjajah sebagai ulil amri yang wajib ditaati dan haram ditentang, serta menuduh mereka yang menentangnya sebagai bughah atau Khawarij.
Terdapat kisah berkenaan seorang ulama’ yang dibawa ke mahkamah oleh pihak yang berkuasa kerana menasihati kerajaan yang sebenarnya telah berlaku zalim. Beliau kemudiannya dituduh:
“Kamu ini Khawarij.”
Secara spontan dia menjawab:
“Adakah kamu seperti Saidina ‘Ali KW yang adil dilawan oleh kumpulan Khawarij?”
Pepatah Arab yang masyhur berkenaan ulama’ yang jahat menegaskan:
يَا مَعْشَرَ الْعُلَمَاءِ، يَا مِلْحَ الْبَلَدِ … مَنْ يُصْلِحُ الْمِلْحَ إِذَا الْمِلْحُ فَسَدَ؟
“Wahai orang-orang yang berilmu, wahai yang menjadi laksana garam (kepada masakan) bagi negeri, siapa lagi yang dapat membaiki garam apabila garam telah rosak?” [Muhammad bin Ahmad Kana‘an, Azamat al-Syabab Asbab wa Hulul, hlm. 81, dan al-Sya‘rawi, Tafsir al-Sya‘rawi, jld. 16, hlm. 9989]
Apabila rosaknya para ulama’, seluruh umat menjadi rosak.
Allah menjadikan pelbagai ujian kepada manusia di sepanjang zaman, kemudian mereka akan dihisab pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah SWT:
يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢
“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).” [Surah al-Isra’: 71–72]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Jumada al-Ula 1448 H / 9 November 2026
[Bil: 73 / 2026]










