Wahid Tegaskan Janji Hapus PTPTN dan Bayaran Balik Yayasan Terengganu

1134

Ia akan dapat dilaksanakan apabila kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakan janji memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Kerajaan Negeri Terengganu kelak.

Pesuruhjaya PAS TerengganuYB Haji Mohd Abdul Wahid Endut, berkata demikian di sessi Taklimat Khas PRU Ke-13 kepada semua jentera dan petugas PRU PAS DUN Kemasik, sempena lawatan beliau bersama rombongan Dewan Harian PAS Terengganu disini, semalam Khamis 14 April.

‘Ini janji kita kepada para peminjam PTPTN dan Yayasan Terengganu, kita telah kaji kos dan implikasinya dengan mendalam dan Insyaallah semua anak Terengganu akan menikmati penghapusan bayaran balik tersebut dengan syarat Kerajaan Persekutuan waktu itu membayar royalti sebanyak 20 peratus’, katanya

Sehubungan itu, Wahid berkata, ‘UMNO/BN berada dalam dilema untuk mengadakan PRU memandangkan mood rakyat sekarang ini tidak menyebelahinya, pemimpin UMNO/BN hilang keyakinan dapat mempertahankan Putrajaya menyebabkan tarikh PRU terus menjadi misteri dan tanda tanya’.

[Gambar – Hj Abdul Wahid Endut bersalaman dengan pelanggan yang terdsiri dari anak muda di sebuah kedai kopi di Kerteh semasa sessi minum petang dan sembang bersama masyarakat]

Sebelum itu, pada sebelah petangnya, beliau telah ‘turun padang’ ke kedai kopi untuk sessi ‘Sembang dan Minum Petang Bersama Masyarakat’

Diantara pimpinan PAS negeri yang hadir ialah Haji Mohd Abdul Wahid, Ustaz Saiful Bahri Mamat, Haji Muhyiddin Abdul Rashid, Dr Alias Razak, Haji Yahaya Ali, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ariffin Deraman.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mengingatkan jentera dan petugas PAS di semua peringkat untuk bergerak aktif mulai sekarang, memastikan Bilik Gerakan sudah beroperasi dan mempertahankan dan meningkatkan mood masyarakat yang mula menolak UMNO/BN dengan melipatgandakan aktiviti bersasaran di peringkat bawahan.

Seramai 350 orang petugas dari pelbagai peringkat telah hadir untuk mendapat suntikan semangat dari Pesuruhjaya PAS Terengganu dan rombongannya yang melawat PAS DUN Kemasik dalam rangka gerak kerja mencapai kemenangan di PRU Ke-13 nanti.

‘Bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat, PAS Terengganu telah menampilkan imej baru (rebranding) untuk membuang pandangan dan tanggapan negatif masyarakat yang sebelum ini menyifatkan PAS sebagai parti yang agresif, jumud dan pemimpin samada di peringkat atas dan bawah yang tidak ramah dengan mengambil pendekatan kepimpinan yang muda dan lebih mesra rakyat’, ulasnya lagi.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam melahirkan rasa kesalnya dengan tuduhan UMNO mengatakan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat. Tuduhan ini menyebabkan berlaku pergolakan dan perpecahan dalam masyarakat di kampung dan ternyata UMNO telah memecahbelahkan perpaduan dan persefahaman di kampung – kampung dengan tuduhan tersebut.

Beliau berkata, ‘apa formula UMNO mengatakan PAS demikian sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, mengapa UMNO Terengganu tidak melaporkan kepada Jabatan Agama Islam untuk disiasat kebenarannya’, soalnya lagi.

Beliau mengingatkan kepada jentera dan petugas PAS DUN Kemasik untuk bergerak dengan lebih sistematik dan bersasaran dan mengharapkan DUN Kemasik akan menyumbang satu kerusi dalam PRU Ke-13 nanti.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya, Dr Alias Razak, pimpinan PAS DUN Kemasik dan 350 orang jentera pilihanraya dari pelbagai peringkat di Dewan Undangan Negeri, Unit Peti Undi dan cawangan.