Negara-negara Asean harus ‘menggalakkan kerjasama berhubung perancangan dan dasar tenaga bagi memastikan keselamatan penawaran dan permintaan tenaga, penggalian dan pengubahan, pengangkutan dan pengedaran minyak dan gas,’ kata Perdana Menteri Vietnam, Encik Nguyen Tan Dung, semasa menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat para menteri tenaga Asean.
(Gambar – Cadangan pusat nuklear bagi penghasilan tenaga di wilayah Ninh Thuan Vietnam)
PusatBeliau menggesa negara-negara anggota Asean supaya ‘menimbangkan kemungkinan bekerjasama dalam menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan sebagai sumber tenaga alternatif yang bebas karbon.
Gesaan itu dibuat menyusuli tawaran Russia hendak membantu negara-negara Asean membangun loji nuklear dan cara menggunakannya.
Beberapa negara Asean seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia mempunyai rancangan hendak membina atau sedang membina loji nuklear bagi mengatasi kekurangan tenaga elektrik.
Vietnam, yang bercadang membina loji nuklearnya yang pertama pada 2014 menggunakan teknologi Russia, akan menandatangani satu perjanjian tenaga nuklear dengan Jepun tidak lama lagi.
Kementerian Industri dan Perdagangan Vietnam, yang menjadi tuan rumah mesyuarat para menteri tenaga di Dalat, berkata satu memorandum persefahaman akan ditandatangani dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun berhubung kerjasama dalam membangunkan tenaga nuklear itu.
Encik Dung berkata Asean perlu meningkatkan kajian dan menggalakkan projek tenaga serantau dan saluran paip rentas Asean bagi menjamin sokongan terhadap bekalan elektrik, minyak dan gas di rantau ini. — Reuters.