Pandangan beliau bahawa pendirian editorial Utusan yang membawakan agenda pro Melayu tidak cocok dengan demografi Sabah dan Sarawak. Hujah beliau diperkuatkan lagi dengan pandangan Utusan mempunyai toleransi yang agak rendah terhadap parti-parti pembangkang serta bersikap tidak lunak terhadap ahli-ahli politik pembangkang dalam pemberitaannya.
Bagi saya, pandangan Datuk Seri Azman Ujang wajar diberikan perhatian. Utusan Malaysia, akhbar yang diangkat sebagai akhbar nasional dan menduduki tempat pertama akhbar arus perdana akan terus merosot jualannya jika mereka kekal sebegini. Malah, mentaliti atau persepsi rakyat sudah meletakkan Utusan sebaris dengan akhbar nyamuk yang tidak ada harga untuk dibaca.
Telah acapkali Utusan Malaysia disaman oleh pemimpin parti politik dan ada kes mereka kalah di mahkamah. Ini menjadi bukti pemberitaannya yang berat sebelah serta mengandungi elemen fitnah atau mengadu domba. Kekerapan Utusan naik turun mahkamah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan untuk membacanya, apatah lagi untuk memilikinya!
Justeru, perkara paling utama yang perlu direformasikan adalah memebebaskan Utusan dari pengaruh mana-mana parti politik. Kongkongan parti politik menyebabkan mereka terus terbelenggu sehingga terpaksa mengikut telunjuk pihak tertentu. Mereka menjadi hilang arah sehingga terpaksa menjadi budak suruhan yang menyiarkan apa sahaja kehendak bos mereka tanpa sedar ianya memiliki kualiti atau tidak.
Selain itu, Utusan perlu menyiarkan pemberitaan secara jujur dan benar dan menjaga profesionalisme kewartawanan. Budaya memfitnah, membesarkan isu yang kecil, mengadu domba serta menokok tambah bagi memburukkan pembangkang telah ditolak oleh pembaca. Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang celik maklumat. Masyarakat cepat menilai melalui pelbagai medium yang mereka boleh miliki. Kepesatan dunia siber tidak boleh membendung masyarakat untuk menguasai maklumat. Justeru, kebenaran yang disembunyikan dari pengetahuan ramai sudah tidak relevan dalam masyarakat pada hari ini.
Tambahan pula, trend media yang seimbang dalam pemberitaannya akan mudah diterima oleh rakyat. Sebaiknya Utusan mencontohi akhbar yang lebih bebas seperti Sinar Harian yang menjadi bacaan rakyat walaupun baru beberapa tahun dilancarkan. Saya yakin, jika Utusan berani melakukan perubahan drastik seperti yang dihasratkan, harapan mereka menjadi akhbar terlaris di negara ini pasti menjadi kenyataan. Malah, mungkin boleh menyelamatkan nyawa UMNO-BN yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan dalam survival politik mereka.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia





























