Usaha Murni NGO Dipuji

1915

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Usaha murni Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Amal Prihatin Kemaman Terengganu (PAPKET) membantu anak yatim dan anak asnaf di daerah ini sangat terpuji.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili juga berkata, komitmen PAPKET untuk bekerjasama bagi memastikan golongan asnaf, fakir miskin dan anak-anak yatim mendapat pembelaan sangatlah dihargai.

“Penglibatan semua pihak perlu, supaya kita tidak terlepas pandang soal kebajikan rakyat terutamanya kumpulan yang benar-benar memerlukan.

“Saban hari, sewaktu orang lain sibuk menjamah makanan, meneliti pakaian baru Hari Raya Aidilfitri akan datang, masih ada insan yang sedih, tidak mampu memiliki kerana kemiskinan.

“Namun begitu, masih ada pihak yang menghulurkan tangan, meringankan beban mereka semampu mungkin,” ujar beliau.

Ir Saiful Azmi Suhaili, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik berkata demikian kita menyampaikan ucapan di Program Jalinan Kasih NGO Pertubuhan Amal Prihatin Kemaman Terengganu di Kertih, di sini, pada petang Jumaat, semalam.

“Di sinilah peranan NGO dan syarikat korporat diperlukan agar golongan anak yatim dan asnaf ini sentiasa dibantu dan dapat meringankan beban mereka terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Program ini bukan sahaja merapatkan lagi hubungan silaturahim dan hubungan semasa kita tetapi meningkatkan amalan melalui bersedekah,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, menurut Pengerusi PAPKET, Muhammad Faisal Kamarudin, NGO tersebut ditubuhkan secara rasminya pada akhir bulan Syawal tahun lalu, walaupun sudah lama bergerak dan ia bermatlamatkan untuk membantu golongan asnaf terutamanya yang tinggal di daerah Kemaman.

“Pada sambutan Hari Raya tahun lepas, kita berjaya membantu menyediakan kelengkapan pakaian anak yatim dan anak asnaf seramai 268 orang, sasaran pada kali ini pula lebih 500 orang.

“Kita bawa khas tukang jahit untuk mengambil ukuran badan anak yatim dan anak asnaf perempuan, anak-anak lelaki biasanya kita beli yang telah siap di pasaraya.

“Semoga apa yang kita sumbangkan itu mendapat ganjaran dari Allah dan memberi manfaat kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan berkenaan,” katanya.