Usah Ghairah Nak PRU, Fokus Bantu Menteri, Timbalan

491

Pilihanraya Umum tetap akan tiba pada bila-bila masa. Segera atau tidak, bukan persoalannya. Ia juga bukan soal siapa menang dan siapa kalah. Ia soal masa terbaik untuk rakyat melibatkan diri dalam pilihanraya. Waktu terbaik untuk diadakan pilihan raya adalah ketika rakyat paling bersedia untuk menyertainya. Keperluan ‘citizen participation’ merupakan tunjang utama dalam demokrasi.

Suasana semasa pasca pandemik, rakyat masih terbelenggu dengan isu tekanan ekonomi, bencana alam dan krisis kesihatan. Keutamaan rakyat sekarang ini adalah penumpuan dalam mengembalikan kestabilan kehidupan. Kadar keluar mengundi yang rendah dalam PRN Melaka dan lebih rendah dalam PRN Johor baru-baru ini memperlihatkan senario rakyat yang sedang berjuang dalam mendepani cabaran semasa. Kerajaan pasca PRU 15 hendaklah dibentuk melalui mandat yang besar dan kuat oleh rakyat.

Justeru, keutamaan tanggungjawab kerajaan dan pemimpin politik pada masa ini adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Bukannya sibuk untuk disegerakan pilihan raya. Sekiranya benar UMNO mementingkan rakyat, sewajarnya pada masa ini semua lapisan peringkat perlu membantu Menteri dan Timbalan Menteri terutamanya daripada kalangan rakan UMNO sendiri supaya kerajaan boleh ‘deliver’ perkhidmatan terbaik kepada rakyat untuk mengharungi masa yang sedang mencabar ini. Usah lagi “tekan” kawan-kawan sendiri.

PAS Terengganu mendokong pandangan Tan Sri Tuan Guru Presiden agar kerajaan menumpukan keutamaan dan kesejahteraan rakyat berbanding PRU.

Sekian.

YB Haji Hishamuddin Abdul Karim
Ketua Penerangan PAS Terengganu

#TeguhPertahan #TerengganuMajuBerkatSejahtera #IslamMenyatukanUmmah