Urus Tadbir TH Yang Lebih Baik Di Bawah Perikatan Nasional

326

Ketika UMNO dan Pakatan Harapan saling menyalahkan, siapakah yang lebih merugikan Tabung Haji, PAS sudah pun ke hadapan mencari jalan meningkatkan prestasi TH, sekaligus memenangi kepercayaan rakyat.

Segala budaya tidak elok dalam pentadbiran yang lepas kita telah hentikan dalam TH.

Kita akui, banyak yang perlu dilakukan bagi membaik pulih Tabung Haji, tetapi kita tidaklah sampai mahu aset-aset strategik institusi umat Islam ini tergadai.

Tindakan tergesa-gesa PH yang telah melakukan pemindahan besar-besaran aset TH kepada syarikat UJSB melalui pelan penstrukturan semula TH termasuklah perancangan penjualan besar-besaran aset perladangan, akhirnya merugikan TH sendiri kerana ia menjejaskan keyakinan pendeposit kepada institusi umat Islam ini pada waktu itu.

Hal ini boleh dilihat melalui jumlah simpanan deposit TH yang telah mencatatkan penurunan yang ketara pada tahun 2019 iaitu penurunan daripada RM75.41 bilion kepada RM69.42 bilion (jatuh 7.94% dari tahun sebelum), dan aset TH juga telah menurun sebanyak 2.03%.

Apabila kita mengambil alih TH daripada Pakatan Harapan, kita telah menghentikan pelan penjualan aset-aset TH Plantation secara besar-besaran yang telah dirancang oleh kerajaan Pakatan Harapan dan melaksanakan langkah-langkah yang lebih strategik seperti penubuhan semula panel pelaburan yang telah dihapuskan oleh kerajaan sebelum ini.

Alhamdulillah, susulan langkah-langkah yang telah dibuat ini, TH telah mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.47 bilion bagi tempoh separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

Sepanjang tempoh enam bulan pertama, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang.

Ini semua menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pendeposit terhadap TH telah mula kembali pulih dengan peningkatan simpanan deposit yang sangat ketara, sesuatu yang gagal dilakukan oleh pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
2 November 2022