Pada 5 Julai tahun lalu rusuhan ganas berlaku antara penduduk asal Muslim kaum Uighur dan penduduk pendatang kaum Han, mengakibatkan sekurang-kurangnya 197 orang terkorban.
Semalam, pasukan keselamatan antara lain dilihat melakukan rondaan di Dataran Rakyat, tempat rusuhan tahun lalu bermula.
‘Keadaan sangat tegang hari ini. Anda lihat saja di jalan raya. Tidak ramai orang keluar sedang sekarang biasanya waktu paling sibuk setiap hari. Penduduk kaum Uighur mungkin tidak berani keluar kerana ia tarikh ulang tahun rusuhan,’ kata seorang pemandu teksi kaum Han, Encik Liu Yan, 50 tahun.
Beberapa penduduk kaum Uighur di Urumqi berkata mereka telah diberitahu supaya jangan keluar rumah semalam.
‘Kami telah diberi cuti sehari untuk berehat di rumah,’ kata seorang pelajar Uighur.
Sejauh ini, sekitar 200 orang telah didakwa terlibat dalam rusuhan tahun lalu. Sekurang-kurangnya 26 daripada mereka dijatuhi hukuman mati.
Pihak berkuasa telah memasang sekitar 40,000 kamera litar tertutup di serata Urumqi, yang didiami dua juta penduduk, bagi mengawal keselamatan.
Pemerintah China menyalahkan golongan ‘pemisah’ atas rusuhan tahun lalu. Bagaimanapun, kaum Uighur mendakwa keganasan tercetus apabila polis bertindak kasar ke atas penunjuk perasaan yang pada mulanya mengadakan bantahan aman.
Bantahan itu ekoran satu pergaduhan di sebuah kilang di wilayah selatan pada Jun tahun lalu, di mana dua pekerja kaum Uigher mati dibunuh.
Sementara itu, jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Encik Dilxat Raxit, berkata pihaknya merancang mengadakan bantahan di seluruh dunia bagi memperingati rusuhan tahun lalu.
Beliau turut mengulangi gesaannya agar Beijing membenarkan satu siasatan bebas diadakan berkaitan rusuhan itu.
‘Terdapat jurang besar antara jumlah angka korban yang diumumkan pemerintah dengan jumlah yang kami terima. Satu siasatan bebas harus dijalankan,’ kata beliau. — AFP, Reuters.