Umno Sedang Hanyut

159

Sekiranya dibaca tentang sejarah penubuhan UMNO dan perlembagaannya, secara terang-terangan mereka merupakan sebuah parti yang mewakili orang Melayu Islam dan bumiputera bukan Islam (orang asal Malaysia), kategori yang termasuk suku kaum dari Malaysia Timur. Kesemua mereka boleh menyertai parti itu.

Demikianlah semangat UMNO dalam memperjuangkan kelangsungan masa depan bumiputera dan Islam dalam satu konsep bahawa kaum bumiputera, khususnya Melayu Islam, ialah penduduk asal Malaysia. Keistimewaan diberikan selepas semua pihak bersetuju kepada syarat penjajah yang memberikan kerakyatan serta hak sebagai rakyat kepada bukan penduduk asal sewaktu kemerdekaan.

Begitu juga, hasil pengiktirafan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini diadakan bagi membetulkan kezaliman penjajah yang meletakkan penyusunan masyarakat majmuk yang telah diatur mengikut agenda politik mereka.

UMNO yang menjadi laksana tulang belakang kerajaan bersama parti-parti gabungannya sejak negara mencapai kemerdekaan yang sudah mencecah lebih daripada 60 tahun, sudah pasti dihinggapi penyakit tua. Mereka menghadapi cabaran yang sangat getir, khususnya apabila mereka tewas sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan kini lebih parah keadaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Oleh itu, sepatutnya muhasabah dilakukan berserta islah bagi melangsungkan perjuangannya. Khususnya ujian harta, pangkat, takhta dan lain-lain yang menjadi ujian besar apabila terlalu lama berkuasa. Firman Allah SWT:

﴿وَقَلِيلٞ مِّنۡ عِبَادِيَ ٱلشَّكُورُ١٣﴾

“Dan sedikit sekali daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang berterima kasih (bersyukur).” (Surah Saba’: 13)

Sejak berlaku krisis kepimpinan hingga menyebabkan tampuk kepimpinan jatuh ke tangan pihak yang lebih bersifat oportunis yang dibejati dengan politik wang tanpa ideologi, sehinggakan kini ada pula yang melepaskan ideologi perjuangannya. Keadaan tersebut laksana orang lemas tidak tahu berenang dan meraba-raba apa sahaja bagi menyelamatkan diri, termasuk memeluk batu yang lebih menenggelamkannya.

Perkara sedemikian ternyata berlaku apabila ada kelompok yang melompat ke arah Pakatan Harapan (PH) yang menjadi gabungan antara parti DAP yang berideologi cauvinis ekstrem, sosialisme bertopengkan demokratik sekular, terbuka anti-Islam, serta PKR yang pragmatik sekular dan PAN sebagai alat tambahannya. Walaupun mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat hasil jumlah kerusi yang tidak mencukupi, tetapi mereka bergayut dengan parti-parti kecil yang rapuh tanpa ideologi yang konsisten.

Undi yang dihasilkan pula datang daripada majoriti bukan Islam, bersama slogan menipu rakyat yang kuat bunyinya, kononnya mahu menghapuskan rasuah, menentang perompak dan lanun yang terlibat dalam penyalahgunaan harta negara dan lain-lain. Rupa-rupanya semua itu laksana tin kosong yang kuat bersuara tanpa isi yang sebenar, apabila semua pihak yang diserang itu menjadi rakan akrab mereka bagi menubuhkan kerajaan di luar tabii.

Mampukah UMNO yang diheret oleh segelintir pemimpin bermasalah itu melakukan normalisasi terhadap PH, iaitu suatu konsep yang diperkenalkan oleh Barat kepada negara Arab terhadap Israel yang nyata kebuntuannya. Situasi itu laksana mahu menukar matahari agar terbit pada waktu malam yang gelap bukan sebagaimana secara normalnya.

Namun, dalam UMNO masih terdapat ramai kepimpinan di semua peringkat sehingga akar umbi yang masih setia kepada perlembagaannya yang mempertahankan Islam, Melayu dan bumiputera. Mereka tidak redha kepada kapten yang membawa bahteranya tanpa kompas yang betul, sehingga boleh melanggar batu karang yang dapat dilihat dengan nyata, atau dilingkup oleh ombak besar gelora politik yang sedang menggila untuk berkuasa dengan teori matlamat menghalalkan segala cara dengan meneruskan amalan politik luar tabii itu.

PAS bukanlah berlagak mengajar itik yang pandai berenang, tetapi bertanggungjawab bagi menyelamatkan itik yang dihalau oleh tuannya yang hanya ingin menyembelihnya tanpa membiakkannya. PAS sejak awal lagi mengajak UMNO untuk bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) yang sahih bersama parti-parti Melayu Islam dan bumiputera yang terbesar, UMNO, PAS dan BERSATU, kemudian disertakan bersama dalam Perikatan Nasional (PN) yang bergabung dengan semua pihak yang tidak ekstrem.

Akan tetapi, kepimpinan yang terpacak itu menolak dengan rakus kerana ramalan nujumnya yang salah bahawa UMNO boleh menang besar, sehingga sekurang-kurangnya mereka mampu memperoleh majoriti kecil tanpa kerjasama dengan parti lain.

PAS telah mengenali semua parti yang dipeluk oleh pemimpin UMNO yang dipilih menjadi kawannya sekarang, semata-mata merasa ingin menyelamatkan diri berada dalam kerajaannya yang sangat rapuh laksana ranting kering.

Kami mengenali ideologi songsang dan sesat yang dianut oleh parti-parti itu yang tidak berubah matlamat dan tujuannya, walaupun mereka mengambil pendekatan menukar pemimpin, atau berdiam diri tidak bersuara seperti dahulu, atau menukar nada suaranya termasuk memohon maaf. Walau bagaimanapun, ideologinya yang sosialis, sekular, pragmatik, temanya ‘Malaysian Malaysia’ tetap tidak boleh dibendung oleh parti-parti sekular pragmatik, sekalipun disertakan bersama para ilmuwan pengampu yang tiada konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar.

PAS dan parti-parti komponen dalam PN tidak akan ‘membunuh’ UMNO sepertimana yang diiklankan oleh segelintir pemimpin yang hanya melompat ke pokok yang dilihat akan buahnya sahaja, laksana kera yang kelaparan.

Sejarah secara berulang kali, telah membuktikan PAS bersama UMNO ketika bermulanya perjuangan kemerdekaan lagi, khususnya bagi menyelamatkan keadaan ketika berlakunya darurat Komunis apabila PAS menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sewaktu berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. PAS juga laksana rumah tumpangan kepada pemimpin UMNO yang disingkirkan apabila berlaku krisis dalaman antara mereka.

Sebaliknya, dalil tidak mustahil DAP ‘menelan’ UMNO sepertimana sejarah berlaku di Singapura, apabila UMNO ketika itu ditelan oleh PAP yang kemudiannya telah melahirkan DAP.

Sejarah juga membuktikan PAS banyak membantu UMNO dan dakwaan akan ‘membunuh’ UMNO jika kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar serta mengarut. Sesiapa yang kata bahawa PAS nak bunuh UMNO, tanya dulu siapakah yang bunuh UMNO di Singapura dahulu? Jawapannya ialah PAP (People Action Party), bukan PAS.

Dahulu sekitar tahun 1950-an, UMNO memenangi pilihan raya di Singapura, kemudian Lee Kuan Yew menubuhkan parti PAP dengan mengambil orang Melayu yang diletakkan di hadapan seperti sekarang mereka meletakkan orang Melayu di hadapan. Dulu pernah Yusof Ishak diletakkan di hadapan, dan diletakkan menteri-menteri Melayu di hadapan, namun selepas itu UMNO ditelan habis di Singapura oleh PAP.

Seterusnya, PAP memasuki ke Semenanjung Malaysia, apabila cawangan parti itu ditukarkan kepada DAP yang berasaskan perjuangan PAP. Perkara tersebut berlaku apabila diambil keputusan untuk mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.

Justeru, UMNO harus sedar bahawa percaturan yang dibuat mereka dengan memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan rakan-rakannya akan merugikan orang Melayu dan Islam.

Meskipun PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan rakan-rakannya sebelum ini, tetapi akhirnya PAS menolak untuk bekerjasama kerana parti itu yang nyata menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Antara penentangan yang dilakukan oleh DAP termasuklah menghalang dan mengkritik usaha PAS untuk mengharamkan arak kepada orang Islam sahaja di negara ini, sekalipun ia diizinkan kepada orang bukan Islam. Selain itu, DAP juga menentang keras pelaksanaan syariat di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS, walaupun ia hanya ingin dilaksanakan bagi penganut Islam sahaja.

Ada orang kata mengapa dahulu PAS berkawan dengan DAP, maka jawabnya, dahulu kita berkawan dengan DAP berkonsepkan tahaluf siyasi yang membolehkan kita menentang kezaliman dan penyelewengan atas titik persamaan. Akan tetapi, DAP tidak menghormati konsep adanya perbezaan apabila mereka menentang Islam, malah menentang dasar-dasar dan perjuangan PAS. Bahkan, secara terbuka mereka membela orang Islam yang murtad.

Islam mengharamkan umatnya daripada berwala’ (bersetia) sehingga sanggup menjual aqidah dan maruah umat terhadap mereka yang bermusuh dan menjadi ancaman kepada agama dan umat.

Rasulullah SAW menjadi teladan dalam mematuhi firman Allah SWT:

﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang beriman. Sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia (tidak akan memperoleh apa pun) daripada pertolongan Allah, kecuali kerana (siasah) memelihara diri (sementara waktu) daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. Dan hanya kepada Allah kembali.” (Surah Ali ‘Imran: 28)

PAS sekali-kali tidak mati, walaupun telah mengalami kekalahan berpuluh-puluh kali di semua peringkat, namun tetap bertahan bersama aqidah perjuangannya. Adapun UMNO hanya kalah sekali sahaja.

Marilah kita bersama pertahankan aqidah perjuangan dan umat, janganlah hanyut dan dihanyutkan. Kita hanya berbeza pendekatan sahaja, namun matlamat untuk menegakkan Islam dan mempertahankan bangsa bersama Islam adalah titik persamaan antara kita semua.

Tegakkan Islam dan Melayu bersamanya, maka pasti semua bangsa dan kaum akan selamat. Tanpa aqidah Islam dan Melayu, pasti semuanya tidak akan selamat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 7 Jumada al-Akhirah 1444 / 31 Disember 2022

[Bil: 73 / 2022]