Mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ( DPPM ) saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas lawatan Khaled Mesha’al ke Malaysia. Beliau yang menjadi salah satu simbol perjuangan rakyat Palestin yang tidak berputus asa memperjuangkan hak kebebasan bumi Palestin khususnya Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
DPPM merasakan kehadiran Khaled Mesha’al, Ketua Biro Politik HAMAS ke Malaysia bagi menghadiri PAU2013 dan sebagai panel dalam Forum Antarabangsa UMNO 2013 adalah dieksploitasi dan dipergunakan oleh UMNO untuk kepentingan politik UMNO semata-mata. Walhal banyak lagi pihak-pihak lain yang melakukan usaha-usaha di dalam memperjuangkan isu Palestin samaada parti politik atau NGO-NGO.
Sebagai sebuah parti yang memerintah tidak memadai dengan hanya menjemput tokoh besar ini menghadiri PAU2013 sedangkan tindakan yang sepatutnya dilakukan ialah mengiktiraf HAMAS sebagai sebuah pertubuhan yang sah di saat ianya dilabel sebagai kumpulan anti demokrasi dan juga mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Lebih daripada itu lagi Malaysia sepatutnya menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Gaza yang dipimpin oleh HAMAS, kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.
Kami ngin menegaskan lagi, sekiranya UMNO ikhlas dengan kehadiran Khaled Mesha’al dan HAMAS, DPPM mencabar Kerajaan Malaysia dan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengiktiraf HAMAS sebagai kerajaan yang sah di Gaza.
Tanpa pengiktirafan ini, kami beranggapan UMNO hanyalah menggunakan Khalid Mesha’al sebagai alat agar UMNO dilihat sebuah parti Pro Islam dan Pro Palestine dimata rakyat Malaysia beragama Islam.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia
9 Disember 2013


























