Umno Peralatkan Orang Miskin

1457

HULU TERENGGANU – Umno sengaja memperalatkan orang-orang miskin khususnya masyarakat di luar bandar bagi mengekalkan kemenangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata Umno-BN menggunakan senjata wang bagi mengekalkan kemenangan parti itu memerintah.

Sebab itu, katanya Umno hanya menang di kawasan pendalaman dan kalah di bandar-bandar serta pinggir bandar.

“Umno-BN menggunakan BR1M untuk diberikan kepada rakyat. Umno peralatkan orang miskin untuk menang. Tempat orang miskin dia (Umno) akan mencengkam.

“Di bandar-bandar dan pinggir bandar Umno-BN kalah sebab orang tidak bergantung sangat kepada Umno,” ujarnya.

Menurut Ustaz Idris, Umno-BN akan kekal memerintah selagi rakyat terus miskin dan mengharapkan bantuannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Perdana Sempena Himpunan Harapan Rakyat-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Kampung Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Azariza Mohd Alawi.