– Gunakan Premis Kerajaan Untuk Kempen Politik
Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia mengecam tindakan pihak UMNO Negeri Perak kerana menyalahgunakan premis Sekolah Kebangsaan Selabak, Teluk Intan untuk tujuan ceramah kempen politik sempena Pilihanraya Kecil Teluk Intan.
Program Ceramah Perdana anjuran Penerangan UMNO Perak itu akan diadakan pada 20 Mei 2014, hari Selasa pada jam 9.00 malam dengan membariskan Y.B. Datuk Hj. Alwi Bin Che Ahmad, ADUN Kok Lanas, Kelantan dan Ketua Sekretariat ILMUAN, Ustaz Fathul Bari yang juga merupakan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sebagai penceramah utama.
Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia menyifatkan tindakan pihak UMNO dan Barisan Nasional ini adalah hasil daripada sifat semulajadi mereka yang sememangnya penakut dan pengecut untuk bertanding secara anak jantan dengan Pakatan Rakyat sehingga terpaksa menggunakan premis kerajaan dan segala jentera kerajaan semahunya.
Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia turut menganggap tindakan pihak UMNO menggunakan premis kerajaan untuk tujuan kempen politik adalah menunjukkan bahawa pihak UMNO sememangnya “munafik politik” yang boleh menggunakan sebarang alatan dan jentera kerajaan tetapi tidak boleh kepada pihak lain.
Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia akan membuat laporan polis terhadap penyalahgunaan premis kerajaan untuk tujuan kempen politik oleh pihak UMNO pada 20 Mei 2014, hari Selasa pada jam 3.00 petang. Laporan polis akan dibuat oleh Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar. Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia turut meminta supaya pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya lebih tegas di dalam menguatkuasakan undang-undang kesalahan pilihanraya dan tidak hanya melakukan penguatkuasaan terpilih sahaja.
MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH
JABATAN PILIHANRAYA PEMUDA PAS MALAYSIA
19 Mei 2014











