Umno-BN masih ‘lemah’ – S/U Yahya Ali

821

GUA MUSANG: Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Yahya Ali mahukan para petugas serta jentera parti yang bertugas dalam Pilihan Raya Kecil N45 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas bekerja ‘kuat’.

Katanya, ‘selera’ politik para pengundi dan rakyat Melayu, Cina, India dan Orang Asal (Asli) masih berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Malah, menurutnya Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih ‘lemah’ selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

“Saya harap kita (petugas) kerja kuat untuk pertahankan Dun Galas ini. Insya’Allah, dengan ‘selera’ (mood) politik yang ada hingga hari ini sejak selepas PRU ke-12 lalu.

“Kita (PAS) mampu buat kejutan dengan kemenangan yang lebih cemerlang dan gemilang.

“Sebenarnya, Umno-BN masih ‘lemah’ dan hanya pihak media yang beri gambaran dia (BN) kuat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jentera Pilihan Raya Kecil PAS Terengganu N45 Dun Galas di Surau Kampung Tanjung Keriting, oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya, kehadiran PAS Terengganu termasuk jentera parti dari negeri-negeri lain adalah atas satu pasukan bagi mempertahankan PAS.

Oleh itu, katanya petugas PAS perlu berjumpa dengan semua para pengundi tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa dan keturunan.

“Kita datang ini atas satu pasukan untuk pertahankan PAS di Dun Galas ini. Kita kena jumpa dengan semua pengundi dan jangan satu pun ada yang tertinggal, Insya’Allah,” ujarnya.

Menurutnya, kerja dalam satu pasukan yang tersusun rapi mampu mengekalkan kemenangan serta rekod PAS dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Hadir sama pada majlis tersebut Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Bendahari PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.