Umat Islam Bersatu Hati Bangkit Menentang ICERD

1739

Oleh : Saifullah Jusoh dan Muhd Afiq Zohir.

BESUT – Umat Islam berhimpun untuk memberi isyarat bahawa mereka tanpa mengira fahaman politik bersatu menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad menegaskan bahawa orang Islam tidak akan sesekali tunduk dengan agenda yang dibawa oleh Barat.

“Kami akan berjuang habis-habisan bagi menolak sebarang bentuk pencabulan terhadap agama Islam dan hak-hak orang Melayu. ” katanya.

Amaran tersebut ditegaskan oleh Ustaz Wan Azhar ketika berucap di Himpunan
Membantah ICERD yang diadakan selepas solat Jumaat pada 16 November di perkarangan Masjid Hadhari Jerteh di sini.

Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad
Himpunan yang diadakan selepas solat Jumaat pada 16 November berakhir pada jam 3.00 petang itu, dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut yang diketuai oleh Saudara Wan Asriazwa Wan Husin turut disertai pelbagai parti dan badan bukan kerajaan(NGO).

” Suara-suara yang lahir dari mulut umat Islam untuk mempertahankan apa yang telah disepakati bersama dalam negara kita, jangan sesekali diganggu gugat, ” ingatan beliau kepada kerajaan yang berkuasa pada hari ini.

Antara pemimpin yang hadir
Sementara itu, perhimpunan yang serupa juga turut diadakan serata tempat di seluruh negara serentak adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Turut hadir dalam himpunan ini ialah Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Besut, Ustaz Zulkifli Kadir, Pengarah Majlis Tindakan (MTD) DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh dan Ketua Pemuda UMNO Besut.