Oleh Dr Riduan Mohamad Nor.
Hampir 13 tahun tanah Syria dibadai derita dan kejerihan, tepatnya tempoh 12 tahun sepuluh bulan adalah fasa kehidupan yang sangat memeritkan . Ratusan ribu mati menggeletak dengan anggaran kasar setengah juta jiwa melayang, jutaan rakyat Syria menjadi pengungsi dipelbagai buah negara termasuk di Eropah. Syria adalah sebahagian daripada tanah Syam , buminya pernah dipijak oleh ar Rasul SAW yang mulia bahkan didoakan oleh ar Rasul SAW. Lahan Syria menjadi tanah kuburan kepada ratusan para sahabat Nabi SAW . Negara ini dalam rakaman sejarahnya telah melahirkan ribuan para ulama serta pemikir ummah, namun pasca Arab Spring telah berantakan akibat peperangan,bahkan ditindan lagi kedukaan dengan wabak kovid 19 pada tahun 2020 yang menaufan dunia.
Negara ini pernah dijajah oleh Peranchis, malah berdepan dengan kebangkitan para alim ulama untuk perjuangan kemerdekaan. Syria juga melahirkan tokoh tokoh Ikhwanul Muslimin yang hebat seperti Sheikh Dr Mustapha as Sibaie, Sheikh Said Hawwa dan lain lain. Negara ini juga menyaksikan bersemarak nya fahaman Baath ( sosialis Arabism) sehingga parti Baath pernah memerintah negara serta melahirkan sosok penindas rakyat dan pembantaian gerakan Islam. Antara mercu tanda pembantaian gerakan Islam ialah peristiwa ” Hammah carpet bombing” pada tahun 1982. Puluhan ribu anggota Ikhwanul Muslimin yang dibunuh serta ribuan yang tercedera. Ulama diserkap serta mendekam dalam penjara pengap ,malah ada yang menyelamatkan diri ke luar negara seperti Sheikh Dr Ali Shoubuni, Sheikh Said Hawwa, Sheikh Dr Mustapha Bugha dan lain lain sosok Ilmuan Islam serta ulama pejuang.
Pasca Arab Spring yang bermula di Tunisia pada 2010 telah mengubah lanskap politik Timur Tengah. Runtuhnya hegemoni politik regim termasuk di Mesir, Tunisia , Libya serta kekacauan politik termasuk di Syria. Regim Baath Syria mempertahankan kekuasaannya dengan kekerasan maka perang saudara yang panjang telah melingkari negara yang cantik ini. Penulis terlibat dengan banyak misi musim Sejuk Syria, kemuncak musim sejuk dengan suhu di bawah paras minus sangat mendera para pengungsi . Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian sehingga mengorbankan nyawa.
Dalam tempoh luka ini, pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan Pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Regim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campurtangan dalam soal pengungsi dari Syria.
Kerajaan Turki telah membuka banyak peluang kehidupan kepada pelarian Syria samada peluang kerja atau pendidikan. Penulis juga menjadi saksi mata dalam tempoh 13 tahun sebelum 8 disember 2024, bagaimana bangunan-bangunan kediaman baru muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan di sekitar sempadan Turki dan Syria.
Krisis kemanusiaan sepanjang perang saudara sangat memburuk di khemah pelarian Syria di sempadan Lubnan, juga sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak 13 tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.
Penulis berpeluang lebih sembilan kali mengikuti misi bantuan bersama NGO Muslim Care Malaysia ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria . Termasuk misi membantu pelarian Syria di benua Eropah seperti di negara Austria, Republik Chech dan Jerman. Rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti selimut tebal, pakaian sejuk, makan kering dan lain-lain.
Fajar mulai menyinsing apabila peristiwa yang dinamakan sebagai ” Fathul Syam”, kejatuhan Bashar Assad dengan legasi regim Baath selama lima dekad berkuasa telah berakhir. Bashar yang zalim telah melarikan diri ke Russia serta mendapat suaka politik . Ahmed Al Sharaa telah dilantik sebagai Presiden peralihan pada bulan Januari 2025.
Dalam tempoh setahun Syria merdeka daripada regim Baath ini, bukan mudah bagi Kerajaan baru untuk menstabilkan politik negara serta membina kembali negara yang telah hancur. Kota kota besar negara itu seperti padang jarak padang tekukur seperti di Ghutoh, Hammah, Aleppo, dan lain-lain. Penulis pernah menjadi saksi melihat puin puin bangunan berserakan di Idlib dan Ariha. Peperangan menatijahkan kesengsaraan yang panjang termasuk kemiskinan ekstrem, keciciran pendidikan, kemunculan ekstremisme serta radikalisme pemikiran . Moga Allah merahmati tanah Syria serta kembali menjadi pusat pengajian Islam tersohor di rantau Asia Barat. Juga terselamat daripada jebakan Zionis yang sentiasa mengintai lahan Syria untuk perluasan kuasa mereka.
( Penulis AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)





























