Saya mengambil kesempatan merafak sembah menjunjung kasih atas titah ucapan KDYMM Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Keprihatinan yang diberikan oleh KDYMM Tuanku Sultan kepada sektor pertanian dan industri asas tani dalam titah ucapan baginda amat dihargai dan diambil berat.
Allah mengurniakan kita di Negeri Terengganu dengan tanah yang luas dan subur, pantai terpanjang di Semenanjung Malaysia kira-kira 244 km, kita ada 14 muara sungai, tasik yang luas dan beberapa lagi faktor semulajadi sehingga anugerah Allah ini menyediakan bumi Terengganu dalam keadaan terbaik untuk diusahakan lalu dituai hasilnya demi faedah rakyat. Aset semulajadi berharga ini sebenarnya belum lagi dimanfaatkan secara optimun.
YB Manir menyentuh mengenai harga ikan yang mahal di Terengganu. Isu berkaitan kemudahan infrastruktur di jeti-jeti pendaratan dan masalah muara cetek adalah punca yang kita telah kenalpasti menyebabkan nelayan kita terpaksa mendaratkan hasil tangkapan mereka di Tok Bali dan di Kuantan. Ikan nak balik semula ke Terengganu memerlukan kos pengangkutan walaupun ikan ini sebenarnya ditangkap oleh nelayan Terengganu. Hasilnya ikan jadi mahal.
Masalah muara cetek dan kekurangan infrastruktur di pelabuhan atau jeti pendaratan adalah isu besar dengan penyelesaiannya memerlukan usahasama antara pelbagai jabatan peringkat negeri dan pusat termasuklah ia melibatkan kos yang sangat besar. Kita dah buat pertemuan dengan masyarakat nelayan yang keluar masuk muara setiap hari mencari rezeki. Kita juga dah mendapat taklimat dari jabatan bertanggungjawab berkaitan pelan tindakan menangani isu ini. Walau ini isu besar, tapi tiada yang lebih besar bagi sebuah kerajaan lebih dari mengutamakan kepentingan rakyat.
Isu penguatkuasaan undang-undang di laut, pencerobohan nelayan asing serta isu perlesenan yang disentuh oleh YB Manir adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat. Tapi yang bertemu dan mendengar keluhan masyarakat nelayan di lapangan ialah kita. Nelayan kita hampir putus asa. Letak unjam hari ni esok hilang kena kokok dengan pukat tunda. Komitmen pihak Exco Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengambil tanggungjawab untuk membincangkan secara serius isu ini bersama Kerajaan Pusat.
Projek Aquapolitan Kuala Nerus yang juga dibangkitkan oleh YB Manir. Suka saya maklumkan bahawa projek ini ialah di bawah Kerajaan Pusat yang diserahkan kepada ECERDC.
YB Jerteh menyentuh tentang penglibatan generasi belia dalam sektor pertanian. Saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian dengan program SKB yang mengfokuskan kepada tanaman durian musang king, Nenas MD2, kelapa dan jagung bijian. Bantuan yang disediakan di bawah program SKB ini termasuk konsultasi teknikal serta khidmat nasihat, bantuan anak benih dan bantuan kewangan. Nenas MD2 dan jagung bijian saya lihat mempunyai potensi terbaik dengan golongan belia. Nenas MD2 contohnya, kaedah penanaman yang mudah, penjagaan yang tak cerewet, bantuan sulur benih dibekalkan oleh LPNM, tempoh penuaian buah hanya sekitar 13 bulan dan harga yang stabil pada paras RM5/kg ditambah dengan permintaan pasaran yang tinggi. Orang muda nak hasil cepat. Di samping kawasan penanaman yang telah sedia ada, bersama Jabatan Pertanian saya telah bincang untuk mengenalpasti kawasan baru berpotensi yang akan dimajukan.
Pemilihan peserta bagi apa jua program asas tani mestilah dari kalangan yang benar-benar berminat, berkemahiran dan ada kesungguhan. Ini adalah kunci utama kejayaan atau kegagalan sesuatu projek atau program asas tani.
Ada bidang seperti pembenihan ikan kerapu hibrid sangat teknikal. Dari induk kerapu yang menghasilkan telur, penetasan telur, nak hasilkan plankton untuk makanan anak kerapu sehingga pembesaran jadi size beberapa cm, penuh dengan aspek teknikal dan kemahiran.
Kita telah melakukan tinjauan kepada beberapa projek pertanian dan penternakan berkelompok. Didapati antara punca utama projek tak begitu berjaya ialah kerana pemilihan peserta yang tak tepat. Bila bagi urusan kepada yang bukan ahli tidak akan menghasilkan natijah yang baik.
Orang kita suka terima bantuan tapi ramai yang buat kerja suka-suka. Minda ini kita nak ubah kerana kita nak jadikan Terengganu hub pengeluaran makanan.
Yang bersungguh bekerja serta berpotensi untuk maju wajib dibantu. Antaranya kita merancang untuk menguruskan pemwartaan tanah tapak pembenihan anak kerapu hibrid di Pantai Air Tawar Besut yang diusahakan orang kampung atas tanah kerajaan sekarang di bawah Seksyen 62 KTN sebagai TKPM.
Pertanian ialah perniagaan. Inilah industri yang menjana ekonomi dan menyediakan sumber makanan kepada rakyat. Kawasan seperti Jabi, Langkap, Hulu Besut dan Telemong boleh bina kemajuan dengan sektor pertanian dan industri asas tani. Kemajuan perlu berpijak di bumi nyata dengan realiti setempat. Kena ubah persepsi bahawa pertanian bermakna kita tak maju.
Kita menghargai usaha Kerajaan penggal lepas yang telah meletakkan beberapa asas perancangan yang baik untuk memajukan sektor pertanian Negeri Terengganu. Melon Manis Terengganu memang terbukti manis dan kemanisannya kekal manis walaupun teraju kerajaan berubah. Cuma isu harga melon manis yang agak mahal akan diperhalusi supaya orang kampung boleh turut sama menikmati kemanisannya.
Kesinambungan usaha yang baik akan diteruskan. Kita telah teliti dan kaji senarai projek-projek pertanian yang dirancang pada penggal lepas untuk kita melihat semula dari segi keutamaan dan keperluannya kepada rakyat termasuklah jumlah bajet yang diperuntukkan. Beberapa kelemahan yang memerlukan penambahbaikan sebahagiannya telah dikenal pasti untuk tindakan pembetulan. Dalam proses kajian semula ini, pandangan dari UPEN serta perincian dan ulasan teknikal dari jabatan-jabatan berkaitan telah dan akan diperhalusi sebaiknya. Saya juga mengambil pendekatan turun padang untuk bertemu sendiri dengan kelompok rakyat yang berkepentingan langsung dengan perlaksanaan sesuatu projek. Akhirnya keperluan dan faedah kepada rakyat ialah faktor utama yang diambil kira samada sesuatu projek wajar diteruskan atau dibatalkan. Kerajaan baru akan meneruskan apa yang baik dan membuat perancangan baru yang lebih baik.
Berkaitan LK Tanjung Gaduh, Marang yang disentuh YB Pengkalan Berangan, suka saya memberikan penjelasan.
1. Lembah Kaprima Tanjung Gaduh Marang mula beroperasi pada tahun 2013. Dioperasikan oleh sebuah syarikat bumiputera Anak Terengganu, Jamnapari (M) Sdn Bhd dari Bukit Tok Beng, Kuala Nerus. Keluasan tanah 50 ekar dengan kemudahan infrastruktur 5 unit kandang, bekalan air, bekalan elektrik dan bangunan pejabat.
2. Matlamat asal projek Lembah Kaprima ialah untuk menjadikan Terengganu pengeluar utama ternakan kambing semenanjung. Tetapi status ternakan semasa LK Tanjung Gaduh ialah 0 ekor kambing. Pengeluaran tahunan juga 0 ekor kambing. Kandang, bangunan pejabat dan infrastruktur lain terbiar, rosak serta ditumbuhi semak samun. Tiada aktiviti ternakan dijalankan oleh pengusaha dari tarikh tandatangan perjanjian pada tahun 2013 – Jun 2018. Kesimpulannya LK Tanjung Gaduh gagal.
Antara punca kegagalan:
1. Komitmen pengusaha yang terhad. Pengusaha yang dipilih bukanlah operator yang benar-benar berkemampuan dalam bidang ternakan kambing.
2. LK Tanjung Gaduh Marang tidak mampu menghasilkan impak dari segi sosioekonomi kepada masyarakat setempat. Kerana itulah projek ini bagaikan terasing di tengah-tengah masyarakat setempat sehingga tidak wujud rasa kebersamaan antara pengusaha dan masyarakat sekitar. Inilah antara punca kenapa ia terdedah kepada masalah pencerobohan dan kecurian.
3. Kos penyelenggaraan dan operasi yang tinggi terutamanya kos makanan ternakan menyebabkan pengusaha yang tidak kompetitif dan tidak berdaya saing akhirnya menyerah kalah dengan mudah.
Tindakan yang diambil Kerajaan Negeri bagi menyelamatkan dan memulihkan LK Tanjung Gaduh:
1. Perjanjian dengan syarikat yang didapati gagal akan ditamatkan berdasarkan terma dan syarat. Syarikat ini bukan hanya gagal menternak, malah tidak pernah membayar sewa dari tahun 2013 sehingga 2018. 2 kali surat peringatan telah dihantar oleh Jabatan Veterinar pada 26/10/17 dan 17/12/2017. Saya telah memohon supaya Jabatan Veterinar menghantar surat peringatan ketiga beserta notis penamatan kontrak.
2. Selepas proses penamatan ini selesai, kontrak baru pengurusan dan pembangunan LK Tanjung Gaduh akan dibuka kepada pengusaha yang benar-benar berminat dan berkemampuan. Kalau YB Kijal berminat, kita boleh bincang.
3. Konsep LK lama yang rigid, dengan memberi fokus kepada kambing pedaging baka boer dan jamnapari sahaja, akan dikembangkan kepada konsep baru dinamakan Kaprima Unggul dengan 70% penternakan kambing sebagai aktiviti utama serta tambahan lain-lain aktiviti seperti ternakan bebiri, rusa dan lembu sado, tanaman kontan dan kolam ikan. Pengusaha juga boleh mendapat tambahan hasil melalui produk susu kambing dan mengeluarkan makanan ternakan seperti rumput napier.
#
YB Permaisuri menyentuh tentang penternakan siakap dan kerapu hibrid di Laguna Setiu. Penternakan ikan air payau di Laguna Setiu telah bermula sejak tahun 80 an lagi. Sekarang terdapat seramai 59 orang pengusaha dengan 1,252 petak sangkar. Spesis utama yang diternak ialah siakap dan kerapu hibrid. Hasil tahun 2015 92.31 metrik tan bernilai 1.67j. Tahun 2016 166.57 metrik tan bernilai 2.004j sementara tahun 2017, 132.84 metrik tan bernilai 1.59j. Sehingga Mei 2018, 41 metrik tan bernilai 0.9j telah dikeluarkan.
Bantuan yang disediakan kerajaan ialah bantuan makanan ikan, penyelenggaraan sangkar, tali sauh, water jet dan mesin penghancur.
#
Bagi menjamin kelestarian projek ternakan ikan air payau di Laguna Setiu, Jabatan mencadangkan supaya semua pengusaha dilesenkan dengan lesen Sistem Kultur Laut (SKL) dan dipersijilkan di bawah program biosekuriti perikanan dengan Sijil Malaysia Good Aquaculture Practice (myGAP) bagi tujuan eksport sekiranya ada pasaran eksport pada masa akan datang. Hal ini bagi memastikan aktiviti akuakultur dapat dijalankan secara sistematik tanpa memberi kesan buruk kepada perairan semulajadi selaras dengan Rancangan Kawasan Khas Tanah Bencah Setiu atau Setiu Wetland dengan izin.
YB Sura menyentuh tentang pasar borong di Dungun. Pasar Borong yang berada di bawah Portfolio Pertanian dengan peruntukan persekutuan di bawah FAMA ialah cadangan pembinaan Pasar Borong Bukit Payung. Status pembinaan pasar borong ini, UPEN dalam peringkat kajian semula tentang kesesuaian lokasi sedia ada. Manakala pengurusan pasar borong lain berada di bawah Kerajaan Tempatan.