MB Lancar PITAS 2030

27711

Oleh : Suhaimi Taib

Kuala Terengganu – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melancarkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di sini pada 4 Julai.

Ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Sultan Mizan Zainal Abidin, Dr Ahmad Samsuri berkata,  PITAS 2030 itu merupakan model yang dicanangkan oleh PAS, merangkumi tiga dasar, tujuh misi,  sembilan strategi, lima bidang utama, 10 program induk dan enam sasaran serta tiga teras perlaksanaan.

“PITAS akan menjadi agenda Terengganu sesuai dengan tema ‘Terengganu Maju, Berkat,  Sejahtera’,” ujarnya.

Menurut beliau pembangunan pelan ini akan mengambil beberapa fasa penting bermula dari sekarang sehingga tahun 2030.

Katanya,  Kerajaan Negeri sangat optimis dengan pelan induk ini.

“Melalui PITAS 2030 penjanaan modal insan dan kemajuan ekonomi akan dipertingkatkan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli rakyat, ” jelasnya.

Beliau juga menyebut tentang peralihan kuasa berteraskan budaya politik matang dan sejahtera yang sarankan oleh PAS dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN)  Rhu Rendang mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas Menteri Besar kerajaan yang lalu,  Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kerana sudi menghadiri majlis peralihan kuasa di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Dengan kehadiran dan kesudian ADUN Seberang Takir itu, majlis peralihan kuasa berjalan dengan tertib dan lancar.

“Saya berharap budaya politik matang dan sejahtera ini diamalkan semua Ahli Yang Berhormat semoga Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera, ” ujarnya lagi.