Tuduhan dibuat di mahkamah, bukan melalui media

882

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah meminta masyarakat tidak membuat tanggapan melulu terhadap video yang dikatakan ‘salah laku seks’ dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata isu tersebut adalah satu fitnah yang mahu membunuh karier politik Penasihat Pakatan Rakyat (PR) itu, yang mesti disiasat secara telus dan adil untuk memastikan ia adalah benar atau sebaliknya.

Katanya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa ia adalah satu konspirasi yang didalangi musuh politiknya, Umno.

“Penafian yang dibuat Anwar Ibrahim berhubung penglibatan beliau dalam video itu juga perlu diambil kira,” katanya ketika dihubungi. mengulas kenyataannya yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Menurutnya, seorang individu yang kemudiannya menggelar dirinya Datuk ‘T’, iaitu tiga Datuk yang ada hubungan dengan Umno, telah mendedahkan video tersebut kepada media.

Selepas itu katanya, mereka sendiri yang membuat pengakuan mendedahkan video tersebut, malah mengaku ‘ada’ dalam video seks tersebut.

Oleh itu, Ustaz Abu Bakar menyifatkan ia adalah satu lagi fitnah yang dilemparkan kepada Anwar, sebagai mana fitnah yang telah dibuat sebelum ini.

“Sepuluh tahun yang lalu Anwar telah difitnah begitu berat dengan tuduhan ‘liwat’, sedangkan mahkamah mendapati ia tidak bersalah, sekarang ia sedang menghadapi tuduhan yang sama, fakta-fakta yang ditimbulkan dimahkamah kini, kelihatan ia bercanggah dengan tuduhan tersebut,

“sekarang timbul isu video seks, Anwar semakin banyak dilempar dengan tuduhan jahat untuk menjatuhkan beliau,”jelasnya

Beliau menegaskan, sesuatu tuduhan yang dibuat mestilah dikemukakan saksi empat orang yang benar, bukan dengan membuat dakwaan melalui media, tetapi melalui mahkamah.

Video tersebut, katanya, sepatutnya diserahkan kepada polis, bukan dideahkan kepada pihak media dan pihak-pihak lain.

“Polis boleh membuat siasatan dan sekiranya ada bukti yang kukuh boleh membuat tuduhan di mahkamah, bukan dalam sidang media,”tegasnya.

Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Nerus berharap Anwar terus bersabar dan rakyat, samada penyokong atau penentangnya, tidak cepat membuat telahan berhubung perkara itu.

“Kita berharap supaya Anwar dan rakyat yang mahukan kebenaran bersabar terhadap ujian ini,” katanya.