KUALA NERUS – Rakyat melihat perkembangan negeri Terengganu dengan ‘mata juling’ apabila tidak ada perubahan yang nyata, walaupun Menteri Besar (MB) negeri Terengganu bertukar dari Dato’ Seri Idris Jusoh kepada Dato’ Seri Ahmad Said dan bertukar pula Dato’ Seri Ahmad Razif.
Papan-papan tanda besar mula dinaikan merata-rata, menukar slogan-slogan dari ‘Islam Hadhari Terengganu Bestari’ kepada ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ dan ditukar pula kepada ‘Transformasi Terengganu Baharu’.
Pembangunan zaman Idris tidak selesai dan sehingga kini, setelah tujuh tahun beliau meninggalkan jawatan tertinggi di Terengganu itu, kesan ‘hitam’ masih dirasai oleh penduduk.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh bumbungnya, tidak sampai setahun setelah siap pembinaannya, dibina dengan kos hampir RM300 juta, sehingga kini tidak diperbaiki dengan sempurna.
Sekiranya sesiapa sahaja memandu, melewati jambatan Sultan Mahmud, dapat melihat dengan jelas, kesan pembangunan Idris yang hanya sedap dipandang, tetapi ‘pahit’ untuk ditelan.
Disamping melalui mercu tanda bangunan ‘tol’ lambang kezaliman zaman MB Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, yang dibebaskan ketika PAS memerintah dari tahun 1999 – 2004, para pemandu yang menuju bandar raya Kuala Terengganu, boleh melihat ‘Masjid Kristal’ di sebelah kanan dan tapak perlumbaan perahu layar ‘Monsoon Cup’ di sebelah kiri.
Ahmad Said tidak mampu menyambung legasi Idris Jusoh yang telah membelanjakan tidak kurang RM3 bilion wang royalti minyak dan gas, yang dinamakan ‘Dana Khas’.
Pembangunan Taman Ilmu, impian Idris yang masih belum menjadi realiti, dan pembangunan ‘Jerteh Souq’ di Besut, tidak mampu disiapkan oleh Ahmad Said, sehingga saat akhir beliau ‘dipaksa’ meninggalkan kerusi empuk MB Terengganu.
Namun Ahmad Said meninggalkan pula ‘wasiat’ kepada pengganti tanpa relanya, Ahmad Razif dengan projek-projek Zoo Kemaman dan Pembangunan Pulau-Pulau di Tasik Kenyir, yang membelanjakan tidak kurang RM500 juta, sehingga kini belum siap, walaupun ‘itik dan angsa’ di Pulau Burung sudah lenyap!
Apa yang Ahmad Razif buat?
Menurutnya, Razif berhasrat mahu menukar program pendidikan ‘E-Book’ yang menelan ratusan juta juta, yang gagal, tinggalan Ahmad Said, kepada ‘i-Class’, namun ia masih dalam kajian.
“Rakyat masih kabur dan ‘pening’ dengan slogan demi slogan, yang dikemukakan oleh kerajaan Umno Terengganu, yang terbaru ‘Transformasi Terengganu Baharu’,
“apa sebelum ini……Terengganu ini ‘buruk’ ke apa?”kata ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak.
Menurutnya, tahap kesihatan rakyat negeri Terengganu sepatutnya lebih diutamakan, tetapi nampaknya tidak ada hala tuju yang jelas, bahkan kes denggi semakin meningkat, kebersihan tidak terjaga.
Paling memalukan, apabila Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam statistiknya mengemukakan bahawa, kes denggi paling teruk adalah di Seberang Takir, DUN MB sendiri.
“yang jelasnya memang adalah transformasi………tapi bukan ‘Transformasi Terengganu Baharu, cuma transformasi rumah MB Terengganu yang baharu,”ujar seorang penduduk Seberang Takir.
Telah menjadi rahsia umum, ubahsuai rumah Ahmad Razif mengalami ‘transformasi’ sehingga yang terbaru, keseluruhannya rumahnya ‘diubahsuai’ dengan dirobohkan, untuk didirikan rumah yang ‘baharu’!!!