‘Tonggeng’ Pesakit Supaya Oksigen Masuk Ke Otak?

3281

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Kami cuba menegur sebuah laman social yang membuat promosi menonggeng bayi serta melaksanakan beberapa aktiviti memulas anggota pesakit. Namun teguran kami dibalas dengan kata-kata sinis dan menuduh kami sebagai doktor yang hanya percaya kepada perubatan moden semata-mata. Tuduh mereka, doktor moden hanya pandai komen tetapi tidak mahu mengkaji lanjut ‘kejayaan” yang mereka telah capai.

Komen terakhir yang saya berikan kepada mereka adalah KESIAN. Mereka berhujah atas fakta yang tidak tepat. Sadis, apabila aktiviti merbahaya yang mereka lakukan itu dipertahankan habis-habisan. Sedangkan konsep kemasukan oksigen ke otak, kaedah rawatan pesakit istimewa seperti Cerebral Palsy (CP) dan seumpamanya adalah tidak betul.

Mereka hanya berfikiran secara logik bahawa dengan kaedah tunggeng bayi CP itu akan menyebabkan oksigen lebih banyak turun ke otak, akhirnya akan memulihkan fungsi otot-otot bayi yang cacat. Teori itu didoktrinkan kepada pesakit yang tidak tahu anatomi serta fisiologi manusia. Maka mereka mudah percaya dan akhirnya melayanglah duit bayaran seminima RM300 setiap kali rawatan. Kesian, mereka mudah tertipu.

Suka saya maklumkan bahawa jantung akan mengepam darah beroksigen ke otak tanpa mengira posisi badan kita. Ini adalah mekanisma unik yang Tuhan jadikan terhadap manusia. Setiap inci sel otak akan sampai darah hatta ianya berada dicelah mana sekalipun. Darah akan tetap dipam walaupun kita tahan nafas semasa menyelam atau tahan berak.

Namun, jika beberapa minit darah yang menyumbat saluran darah, oksigen tidak sampai seperti dalam kes serangan angin ahmar (stroke). Sel-sel otak tidak akan berfungsi, mengakibatkan anggota badan yang disarafi kawasan otak itu akan lumpuh.[1]

Jika otak tidak terima oksigen antara 30-180 saat, kita akan pengsan. Tempoh seminit sahaja sel otak akan mati. Jika melepasi 3 minit, kerosakan sel otak semakin teruk. Sel otak akan terus tidak dapat diselamatkan jika oksigen tidak masuk lebih dari 10 minit. Sel-sel otak yang sudah mati, sukar dipulihkan. Kebanyakan pesakit akan kekal lumpuh dalam satu tempoh yang agak lama bergantung kepada peratus penyumbatan yang berlaku.

Penyakit CP agak berbeza mekanisma kejadiannya. Penyakit CP terhasil akibat perkembangan sel otak yang terbantut sebaik sahaja sebelum bersalin dan saat bersalin. Sel-sel tertentu otak tercedera kerana pelbagai punca, antara kemalangan, penyalahgunaan dadah, kecuaian pengendalian semasa bersalin yang menyebabkan bayi tercedera atau jangkitan kuman.[2] Kanak-kanak yang berpenyakit CP ini akan kelihatan bermasalah dari sudut keseimbangan badan dan gerak-geri tubuh (posture).

Oleh yang demikian pesakit akan kelihatan sukar untuk berjalan, payah untuk menggunakan tangan semasa menulis atau pergerakan halus, dan terdapat dikalangan mereka yang mengalami masalah sawan dan pemikiran terbantut. Tanda awal bayi disyaki boleh dihinggapi CP adalah antara 1 hingga 3 tahun dimana semua proses perkembangan tubuh badan sedang pesat.

Sehingga kini tiada kaedah yang boleh menyembuhkan CP seratus peratus. Akan tetapi terdapat rawatan yang boleh membantu mereka kepada kehidupan yang lebih sempurna seperti ubat-ubatan, alat bantuan ganti, peningkatan fungsi fizikal, pemulihan cara kerja dan latihan percakapan. Semuanya ini perlu dijalankan oleh individu yang mahir.[3] Pada satu tahap yang tertentu pesakit CP ini boleh menjalankan aktiviti harian mereka sekadar mampu hasil dari rawatan dan latihan secara berterusan. Ianya juga bergantung kepada tahap keterukan kecederaan yang berlaku semasa lahir.

Tahun 1955 dua doktor bernama Glenn Doman dan Carl Delacato telah menubuhkan The Institutes for The Achievement of Human Potential (IAHP), gunanya untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak yang istimewa temasuk CP bagi memulihkan otak mereka. Teori yang dikemukakan oleh Glenn-Delacato ini, kononnya membantu memulihkan otak yang rosak melalui latihan fizikal khas bernama “Patterning”.[4] Mereka mengambil konsep bahawa manusia itu adalah makhluk yang boleh dilatih seperti haiwan lain umpamanya haiwan amfibia dan reptilia.

Melalui kaedah acuan (patterning) yang khusus, latih tubi pergerakan badan secara pasif dengan memulas tangan, kaki dan kepada secara silang akan menghasilkan signal kepada sel otak untuk terus berkembang secara sempurna. Dalam kaedah ini, tiada pulak mereka melakukan pergerakan menunggeng kanak-kanak bagi memulihkan kemasukan oksigen ke otak!

Banyak kajian telah dijalankan oleh pelbagai pihak bagi membuktikan kebenaran kaedah pelik ini. Namun hasil dari semua kajian itu tidak menunjukkan kesan yang positif berbanding dengan populasi masyarakat yang tidak terlibat dalam patterning.

Persatuan Pediatrik Amerika (AAP) telah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi bagi memberi peringatan kepada masyarakat bahawa kaedah patterning oleh Glenn-Delacato ini tiada merit, tidak terbukti merawat pesakit dan boleh mendatangkan bahaya.[5] Sudah berapa ramai keluarga pesakit yang mengalami masalah rasa bersalah, murung dan ditimpa hiba serba kekurangan kerana sudah menghabiskan banyak masa, tenaga, fikiran dan duit dek kerana terkesima dengan rawatan Patterning. Walaupun terdapat sedikit perubahan kepada anak-anak mereka, tetapi harapan menggunung tinggi itu tidak pun mencapai idaman seperti yang dicanangkan dalam promosi IAHP.

Dalam negara kita, ada juga individu yangi ingin menggunakan kaedah yang sama. Apabila kami cuba menegur, mereka mula sentap. Sedangkan bukti fakta kajian saintifik sudah terbentang di depan mata.

Pautan:
[1] Oxygen Deprivation. https://www.spinalcord.com/blog/what-happens-after-a-lack-of-oxygen-to-the-brain
[2] Cerebral Palsy. http://www.cerebralpalsy.org/about-cerebral-palsy/definition
[3] Cerebral Palsy Treatment. https://medlineplus.gov/cerebralpalsy.html
[4] Glen Doman Method. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/patterning.html
[5] Committee on Children with Disabilities. The treatment of neurologically impaired children using patterning. Pediatrics 104:1149-1151, 1999. Reaffirmed Jan 2006.