KUALA TERENGGANU – Sebanyak 250 ekor kera ditembak mati menerusi Operasi Bersepadu Basmi Musuh Tanaman di Hulu Terengganu pada 22 April lalu bagi menangani gangguan hidupan liar yang menyebabkan kerosakan tanaman dan menjejaskan pendapatan petani.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan menangani masalah musuh tanaman dilaksanakan secara bersepadu mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.
Menurutnya, PERHILITAN Terengganu mengambil tindakan terhadap setiap aduan melalui siasatan, pemantauan, rondaan berkala, pemasangan perangkap dan operasi kawalan.
“Bagi kes gangguan kera yang serius, tindakan penakaian atau tembak mati boleh dilaksanakan berdasarkan penilaian pihak jabatan, mengambil kira populasi kera yang tinggi dan kadar pembiakannya yang pantas,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet), semalam.
Tambahnya, operasi seumpama itu akan diteruskan di kawasan yang dikenal pasti berdasarkan keperluan dan keadaan semasa bagi mengurangkan konflik antara hidupan liar dengan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut melaksanakan Program Pemulihan Kawasan Penanaman secara bersepadu melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu petani mengawal musuh tanaman.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM81,785 bagi program berkenaan pada 2025 berbanding RM26,125 pada 2024, menjadikan jumlah keseluruhan RM107,910 dalam tempoh dua tahun,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap peruntukan program berkenaan dapat diteruskan bagi membantu petani melindungi kawasan pertanian dan mengurangkan kerugian akibat serangan haiwan perosak.









