Tingkatkan Langkah Keselamatan Elak Kejadian Culik Kanak-Kanak

14336

Kejadian kes culik atau cubaan menculik kanak-kanak di dalam negara ini sejak kebelakangan ini amat menggemparkan negara. Dalam beberapa hari ini, telah berlaku beberapa kes di mana beberapa orang kanak-kanak cuba diheret ke dalam kereta, van bahkan motosikal untuk dibawa pergi namun ada yang berjaya meyelamatkan diri mereka. Kes ini menunjukkan ada trend kes penculikan yang dilakukan oleh sindiket terancang dengan tujuan tertentu yang tidak diketahui. Kejadian ini meninggalkan trauma yang berterusan buat ibu bapa. Kanak-kanak menjadi sasaran terbaharu untuk dijadikan korban sama ada mangsa pemerdagangan, penjualan organ, perkosaan, ugutan mahupun bunuh.

Lebih menghairankan, kejadian ini biasanya berlaku di waktu siang hari, waktu orang bekerja, di kawasan lapang dan di kawasan perumahan. Apakah ia suatu mesej yang mungkin sengaja ditinggalkan penjenayah bahawa undang-undang dan tahap keselamatan sedia ada tidak lagi menggerunkan mereka. Adakah ia suatu menifestasi bahawa keadaan rakyat yang berada dalam keadaan sangat terdesak seperti bebanan kos hidup yang tinggi sehingga ada segelintir melakukan tindakan luar peri kemanusiaan seperti ini?

Sepatutnya kerajaan menekan butang panik dengan memaksa agensi keselamatan negara memantau dan meningkatkan tahap keselamatan negara. Perkara ini tidak boleh dibiar, dengan menjadikan lebih ramai mangsa korban golongan tidak berhati perut seperti ini mengambil peluang. Sesuatu perlu dibuat dan langkah pencegahan mesti diambil dalam waktu terdekat ini. Penjenayah seperti mencabar pasukan keselamatan negara agar mengambil tindakan keras dan pintar mengatasi mereka. Jika modus operandi kumpulan penjenayah ini yang cukup licik dan dengan strategi yang ampuh, sehebat itu jugalah strategi yang perlu disusun oleh pasukan keselamatan mencegah kejadian ini daripada berlaku.

Saya ingin menasihatkan ibu bapa agar bersama-sama menjaga keselamatan anak-anak mereka. Tidak ada individu lain yang mampu menjaga pergerakan anak-anak mereka melainkan kedua ibu bapa sendiri. Aktiviti luar rumah tidak lagi boleh dibiarkan tanpa pengawasan ibu bapa. Selain itu, jangan dibiarkan anak-anak berjalan kaki pergi atau pulang dari sekolah atau ke mana sahaja bersendirian, melalui jalan pintas dan gelap, semak samun, kawasan sunyi dan berbahaya. Mereka mesti ditemani, diawasi, diambil atau dihantar pulang supaya tahap keselamatan mereka dapat dipantau sepenuhnya.

Saya juga menggesa keprihatinan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran rumah kediaman, kejiranan dan anggota masyarakat selamat. Kerjasama yang baik dan padu daripada anggota masyarakat dapat mencegah kejadian jenayah berlaku di mana-mana, terutama kes penculikan seperti ini. Anggaplah ia sebagai suatu tragedi negara, dan berhati-hati, berwaspada dan bersiap siaga adalah langkah terbaik mencegah jenayah ini daripada berlaku.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat