Pemuda PAS Malaysia (PPM) mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa lemas dalam kejadian van terjatuh ke dalam loji kumbahan di Jalan Pertanian 7, Taman Universiti, Johor Bahru semalam. Tragedi semalam mengakibatkan seorang pelajar tadika meninggal dunia manakala lima yang lain cedera parah kerana lemas dalam kolam terbabit. Mangsa yang meninggal dunia adalah Allahyarham Muhammad Azri Aqif Azhar, 4 tahun sementara lima yang mengalami cedera parah adalah Nur Aima Abdul Razak, Sakinah Roslan, Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, Daniel Aiman Hakimi Md Gefri dan Daniel Asyraf Abdullah.


Dalam hal ini, PPM ingin mengingatkan kepada semua pihak terutama pengusaha pusat jagaan kanak-kanak atau pemandu kenderaan sekolah agar meletakkan keutamaan pada aspek keselamatan kanak-kanak. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan anak-anak jagaan mereka hadir dan pulang ke rumah dalam keadan selamat. Justeru, langkah keselamatan yang tinggi perlu diberi perhatian agar tidak terdedah kepada sebarang risiko yang membahayakan kanak-kanak. Musibah atau tragedi buruk boleh dielakkan sekiranya pihak penjaga mengambil langkah berhati-hati dalam sesuatu urusan yang berkaitan dengan pekerjaan mereka.
Akhirnya, PPM meminta agar keluarga allahyarham tabah menghadapi ujian yang melanda ini. PPM turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan sebagai hamba yang diredhai Allah SWT dan dapat memberi syafaat kepada keluarganya di Akhirat kelak.
SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda Pas Malaysia



























