Tiga MB Pakatan Rakyat; MB Untuk Semua

881
http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/Presiden%20PAS%20Kunjungi%20Ahmad%20Yakob.jpg

Di Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim diberi kepercayaan Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar negeri Selangor buat penggal ke dua hari ini. Manakala, Kelantan mendapat Menteri Besar yang baharu apabila YAB Dato’ Ahmad Yaakub dipilih menjadi Menteri Besar Kelantan menggantikan Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi DPPM, pelantikan ketiga-tiga pemimpin bagi menerajui negeri-negeri Pakatan Rakyat tersebut amat wajar dan tepat pada masanya memandang rekod pentadbiran yang ditunjukkan oleh mereka semasa kepimpinan mereka sesi lalu menunjukkan prestasi yang cemerlang. Bagi YAB Dato’ Ahmad Yaakub pula pelantikan sebagai Menteri Besar Kelantan bukanlah suatu kejutan memandangkan beliau adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika di era Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar.

[Gambar – Presiden PAS Dato’ Sei Tuan Guru Abdul Hadi Awang ditemani Setiausaha Politiknya Dr Shamsuri Mokhtar menziarahi MB Kelantan yang baru Datuk Ahmad Yakob]

Pelantikan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat membuktikan kepercayaan rakyat terhadap ketokohan dan kewibawaan mereka. YAB Lim Guan Eng serta YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah berjaya mengharungi segala ujian yang melanda negeri tersebut sepanjang sesi 2008-2013 serta memajukan negeri-negeri tersebut jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Mereka juga telah menunjukkan contoh kepada negeri-negeri lain bahawa Pakatan Rakyat mampu melahirkan pemimpin yang mempunyai kredibiliti, amanah, cekap, bersih dan telus. Malah, rakyat di negeri-negeri tersebut mendapat manfaat sepenuhnya daripada pemimpin kerajaan yang prihatin dan menjaga kebajikan rakyat sepanjang penggal lepas.

Adalah diharapkan Menteri Besar Kelantan, Selangor serta Ketua Menteri Pulau Pinang mampu memikul amanah sebagai pemimpin negeri-negeri PR dengan jayanya serta berlaku adil kepada semua pihak. Mereka perlu buktikan bahawa mereka adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri kepada semua kaum tanpa mengira bangsa dan keturunan serta pemimpin kepada semua pihak tanpa mengira ideologi dan fahaman politik. Di sisi rakyat, mereka adalah kebanggaan semua pemimpin dan pendokong Pakatan Rakyat serta mampu menggalas kepimpinan negara apabila PR menang Putrajaya kelak.

YB HJ NASRUDIN HASSAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia