Teruskan Agenda Kebajikan

1769

Oleh : Rohayati Ripin (RR)

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Negeri Terengganu perlu meneruskan agenda kebajikan yang telah dilaksanakan untuk merealisasikan Manifesto PAS bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Ketuanya Hajah Zarani Othman berkata, aktiviti tersebut dilakukan oleh kumpulan ziarah skuad khidmat dan Ameerah Care serta bersama dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang baharu.

“Dalam konteks semasa yang memerlukan muslimat turun ke medan masyarakat untuk melalui aktiviti kebajikan,

“ianya bagi mengukuhkan persaudaraan dan kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu kali ke 45 di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Ibai hari Sabtu, 14 Julai.

Katanya, budaya politik matang dan sejahtera merupakan pendekatan politik parti PAS yang mengutamakan kematangan dan seterusnya membawa kepada kesejahteraan masyarakat.

“Ianya tidak meninggalkan ciri budaya politik matang dan sejahtera yang pertama dan kedua iaitu politik berdamping dan politik dakwah amar makruf nahi mungkar,

“apatah lagi dengan isu nasional dan isu dunia yang melanda negara kita hari ini menjadi cabaran yang hebat kepada kita,” katanya.

Menurutnya, politik Islam bukan berpaksikan hanya bertujuan mendapatkan kuasa semata-mata tetapi berkasih sayang sesama manusia.