Terus Kekal Di bawah Naungan ‘Khemah Arafah’ Dan Panji Penyatuan Ummah

237

PAS Terengganu terus mengajak dan tidak jemu membawa agenda Penyatuan Ummah yang mengikat Ukhuwwah Islamiyyah dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Kesatuan dan penyatuan umat Islam terutamanya parti politik Melayu-Islam merupakan formula terbaik bagi memastikan negara dalam keadaan yang stabil dan bergerak ke hadapan.

Usaha penyatuan dan mengelakkan perpecahan ini tidak mudah dan memerlukan kesabaran. Namun, inilah jalan terbaik untuk tidak menghilangkan kekuatan umat Islam, sepertimana yang ditunjukkan dalam Surah Al-Anfal ayat 46 ;

‎وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَنازَعوا فَتَفشَلوا وَتَذهَبَ ريحُكُم ۖ وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّابِرينَ

“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Sewajarnya para pemimpin politik Melayu-Islam mengambil ibrah daripada perhimpunan tahunan umat Islam di Baitillah yang memperlihatkan kekuatan dan kesatuan umat Islam dari seluruh dunia. Kewibawaan dan kesatuan umat Islam lebih menonjol apabila mereka sama-sama berwuquf pada hari Arafah.

Oleh kerana itu, PAS Terengganu konsisten mengajak parti-parti politik Melayu-Islam dan seluruh umat Islam di Malaysia untuk turut berteduh di bawah “Khemah Arafah” atau panji Penyatuan Ummah sebagai medan menyatupadukan umat Islam seterusnya mengembalikan kekuatan umat Islam di bumi Malaysia ini.

Insya Allah, PAS Terengganu akan terus bersabar dan mengangkat agenda penyatuan ummah ini berbanding menerima konsep pendekatan khemah besar, walaupun sering dihidangkan dengan pelbagai telatah dan gelagat dari pihak-pihak yang masih berkiblatkan ‘politik sengketa’.

“ISLAM MENYATUKAN UMMAH”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN BIN AWANG
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu