Terengganu Tawar Jadi Tuan Rumah Himpunan Fastaqim 2.0

4798

Oleh : KAM

DUNGUN – PAS Terengganu menawarkan diri menjadi tuan rumah program Himpunan Fastaqim 2.0 bagi membangkitkan gelombang rakyat membuat perubahan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata jika Fastaqim 1.0 berjaya mengumpulkan hampir 100,000 orang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan tahun lalu.

“Saya telah beri isyarat kepada PAS Pusat yang Terengganu sedia untuk jadi tuan rumah program Himpunan Fastaqim 2.0 dijangka (buat) tahun ini. Harap-harap Fastaqim 2.0 ini akan dibuat di Terengganu.

“Kita (PAS) nak gelombang kebangkitan rakyat dalam Fastaqim itu boleh membawa kesan perubahan di negeri ini,

Insya’Allah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PAS Dun Bukit Besi, di Dewan Darul Bayan, Paka, Dungun, semalam Jumaat 3 Februari.

Menurutnya, PAS Terengganu telah mengenal pasti beberapa lokasi sesuai bagi mengadakan himpunan besar tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka turut membuat ‘akujanji’ kepada PAS Pusat bagi menyumbang dua lagi kerusi parlimen dari Terengganu pada PRU14, akan datang.

Antaranya, kata Ustaz Satiful Bahri dua kerusi parlimen itu di Kemaman dan Hulu Terengganu yang pernah dimenangi pada pilihan raya tahun 1999.

“Kita (PAS) berjanji kepada PAS Pusat untuk sumbang dua lagi kerusi parlimen pada PRU14. Parlimen Kemaman dan Hulu Terengganu yang pernah kita menang tahun 1999.

“Kemaman, kita (PAS) telah ada penunggul iaitu DUN Chukai, Hulu Terengganu, kita ada DUN Manir dan Insya’Allah, kedua-dua itu boleh menyumbang kemenangan kepada parti peringkat Parlimen,” tegasnya dihadapan 300 hadirin.

Menurutnya, PAS Terenganu sebelum ini mempunyai empat Ahli Parlimen tinggal tiga setelah seorang ‘melompat’ keluar parti.

Kata beliau, pada PRU14 akan datang PAS akan bertanding di semua 32 Dun dan lapan Parlimen bagi membantu kemenangan parti sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen.

Majlis Makan Malam Amal PAS Dun Bukit Besi itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.