Terengganu Inc Distruktur Semula

4802

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan menyusun semula syarikat perniagaan di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated (TI) bagi meningkatkan prestasi serta memberi pulangan pelaburan yang maksimum kepada negeri dan rakyat.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa pelan tindakan segera sedang dikenal pasti untuk meningkatkan prestasi perjalanan kumpulan syarikat peneraju pelaburan Terengganu itu.

“Kemungkinan juga kita akan mengecilkan atau mengurangkan bilangan ahli lembaga pengarah serta melantik ahli lembaga pengarah yang mempunyai kompetensi, kebolehan, pengalaman dan integriti yang tinggi.

“Bagaimanapun, proses ini akan dilaksanakan dengan ‘cermat’ agar tidak berlaku kejutan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kakitangan Kumpulan Terengganu Inc di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri seramai 73 pelajar sekolah Tahfiz Al Hidayah dan 55 anak-anak istimewa dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, langkah menyusun semula syarikat dan perniagaan di bawah Kumpulan Terengganu Inc termasuk memperkasakan syarikat berdaya saing manakala syarikat yang tidak berdaya saing perlu disatukan, dijual atau ditutup sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut meletakkan sasaran kepada Kumpulan Terengganu Inc untuk menjana keuntungan selewat-lewatnya pada 2020 selain memastikan projek-projek dinilai semula, dilaksanakan serta dipantau supaya tidak menjadi projek ‘gajah putih’.

“Kita harap semua anak syarikat kumpulan Terengganu Inc dapat terus istiqamah dalam memainkan peranan, memacu dan bergerak seiringan untuk membawa Terengganu ke tahap lebih tinggi.

“Saya juga berharap perubahan kepimpinan negeri dan negara ditangani dengan baik melalui pendekatan politik kasih sayang yang diterapkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Antara syarikat yang berdaya saing di bawah Kumpulan Terengganu Inc ialah TDM Berhad, Epic Berhad, Golden Pharos Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU), Chicken Cottage serta perkhidmatan perhotelan seperti Duyong Marina Resort, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel. – Sinar Harian