KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu berhak menuntut sepenuhnya hasil serta pembayaran tertunggak melibatkan tanah seluas 14,791 hektar merangkumi 10 ladang yang telah diusahakan FELDA sejak lebih 40 tahun lalu.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tanah-tanah berkenaan bukan tanah rancangan FELDA yang mempunyai peneroka, sebaliknya tanah kerajaan negeri yang sepatutnya diurus berdasarkan syarat asal.
“Tanah ini kekal milik Kerajaan dan rakyat negeri Terengganu. Ia tidak pernah bertukar hak milik, namun dipajak dan diisytihar sebagai aset dalam penyenaraian Bursa Malaysia. Itu tidak wajar,” katanya melalui satu kenyataan, di sini semalam.
Sepanjang tempoh operasi lebih empat dekad, kata Amzad, FELDA masih gagal menyelesaikan bayaran premium tanah, cukai tanah dan tidak melunaskan perkongsian keuntungan 30% kepada kerajaan negeri, kini dianggarkan tertunggak sekitar RM600 juta, walaupun FELDA mencatat keuntungan setiap tahun.
Katanya, kerajaan negeri telah memberikan ruang yang mencukupi untuk proses rundingan dan menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh akhir, namun sehingga tempoh itu tamat, tiada maklum balas diterima daripada FELDA.
“Puluhan tahun tanah negeri diusahakan tanpa pulangan sewajarnya bukan sahaja merugikan rakyat, tetapi memperlihatkan kelemahan tadbir urus yang tidak boleh lagi dibiarkan,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri mempunyai hak jelas terhadap hasil tanah tersebut, malah tuntutan yang dibuat adalah munasabah serta selari dengan kepentingan dan maslahat rakyat Terengganu.
“Hasil ladang sepatutnya kembali kepada rakyat dan pembangunan negeri, bukan hanya menguntungkan pihak tertentu.” tegas beliau.
Justeru, Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, menyokong penuh Tindakan tegas Kerajaan Negeri Terengganu demi mempertahankan hak dan menggesa supaya penyelesaian menyeluruh dapat dibuat segera.
“Ini bukan tuntutan baharu atau melampau. Ia hak sah yang tertangguh terlalu lama.
“Demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi negeri, isu ini mesti diselesaikan segera,” katanya





























