Teguh Pertahankan Hak Negeri Di Peringkat Nasional

39

YAB Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyampaikan ucapan sulung perbahasan Titah Diraja Yang Dipertuan Agung di dalam Dewan Rakyat pada hari ini menyentuh pelbagai isu yang membabitkan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kepada rakyat dan negeri.

2. Dalam menghadapi pelbagai situasi ekonomi dan global yang tidak menentu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya perlu lebih bersifat terbuka terhadap semua cadangan dan penambahbaikan yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Pembangkang yang dipilih oleh rakyat.

3. Pada ketika kenaikan cukai sentiasa meningkat saban tahun demi menambah kantung kewangan Kerajaan Persekutuan, pemberian kepada negeri melalui Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan masih pada kadar lama iaitu lebih 20 tahun yang lalu dan ia memerlukan pindaan yang baharu.

4. Selain itu, diskriminasi terpilih yang diamalkan oleh Kerajaan MADANI pada ketika ini terhadap pihak pembangkang terutamanya Negeri Terengganu dalam perkara melibatkan pemberian Dana Khas Petroleum adalah kitaran ganas yang perlu dihentikan segera dengan pendekatan politik yang lebih bersifat matang demi kebaikan rakyat secara keseluruhannya.

5. Jika tiga Perdana Menteri mampu mengekalkan polisi yang sama untuk memberikan peruntukan Dana Khas Petroleum tersebut kepada Negeri Terengganu, apakah faktor utama yang menghalang Kerajaan MADANI untuk berbuat perkara yang sama? Apakah kerana rakyat di negeri ini yang majoritinya memilih PAS sebagai pemimpin mereka di dalam PRU dan PRN yang lalu, maka kami dilakukan sedemikian rupa?

6. Suka untuk saya ingatkan, dengan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri yang cekap, Terengganu kini berjaya menurunkan kadar Kemiskinan Relatif daripada 10.2% pada 2016 kepada 6.9% pada tahun 2022. Bukan itu sahaja, dalam tempoh yang sama juga, kadar Kemiskinan Mutlak di negeri ini menurun sebanyak 0.4%.

7. Justeru, seiring dengan Titah Yang Dipertuan Agong untuk memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap, Kerajaan Persekutuan sewajarnya mematuhi rukun-rukun MADANI terhadap pihak pembangkang termasuk Ahli Parlimen dan Kerajaan Negeri dalam pemberian peruntukan tertentu yang telah menjadi hak mereka. Laksanakan tanggungjawab kalian sebaiknya, kerana kelak kalian akan dipersoalkan di atas setiap kezaliman yang kalian lakukan.

YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu
ADUN Batu Buruk
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu