KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan Negeri Terengganu merekodkan hasil sebanyak RM1.229 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, melibatkan tiga suku pertama tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut merangkumi kutipan RM218.71 juta pada suku pertama, RM589.46 juta pada suku kedua dan RM421.58 juta pada suku ketiga.
“Suku kedua pada April sehingga Jun 2026 mencatatkan jumlah hasil tertinggi iaitu RM589.46 juta, diikuti suku ketiga pada Julai sehingga September 2026 sebanyak RM421.58 juta dan suku pertama RM218.71 juta,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Haji Mamad Puteh pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Sidang Bajet), semalam.
Dalam jawapan sama, beliau menjelaskan perolehan Kerajaan Negeri bagi tempoh berkenaan melibatkan tiga komponen utama iaitu sektor kerja (pembangunan dan infrastruktur), perkhidmatan serta bekalan.
Sektor kerja merangkumi pelaksanaan projek fizikal, naik taraf kemudahan awam, penyelenggaraan jalan raya dan pembangunan prasarana di seluruh daerah.
Sementara itu, sektor perkhidmatan melibatkan penyelenggaraan sistem ICT, pembersihan bangunan kerajaan, kawalan keselamatan serta khidmat perunding dan kajian teknikal.
Bagi sektor bekalan pula, ia merangkumi perolehan bahan binaan, bekalan utiliti, peralatan pejabat serta input bagi program agromakanan dan kesejahteraan rakyat.










