Tangani LGBT Dengan Berhemah Dan Kasih Sayang

5408

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Golongan lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT) akan mencetuskan lebih banyak masalah sekiranya tidak ditangani dan dibantu dengan pendekatan yang lebih berhemah dan kasih sayang.

Seorang bekas mak nyah Mohd Khariri Mohamad Ramli berkata, beliau  kini telah berhijrah menjadi pendakwah bebas  berubah kerana hidayah daripada Allah.

Katanya, beliau yang dahulunya telah terjebak dalam ‘dunia hitam’ selama kira-kira 15 tahun  semenjak  umurnya 18 tahun dan berjaya membebaskan diri dari gejala itu lapan tahun lalu.

“Bagi saya penghijrahan bermula dari dalaman, bukan daripada luaran, sebab luaran ini ia tidak kekal,

“Jadi kebanyakan kawan-kawan saya  beranggapan bila nak berhijrah dari (secara luaran) maksudnya potong rambut, buang baju-baju perempuan, tetapi bagi saya itu sebenarnya salah,

“Sebenarnya penghijrahan yang bagus… yang hebat yang betul-betul mantap, bila kita mengenali diri kita dan mengenali Allah serta Islam dan dikala itulah kekuatan akidah Allah akan campakkan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Dewan Auditorium JAHET di Kompleks Seri Iman, Terengganu pada hari Ahad, 29 Julai.

Menurutnya, beliau beransur – ansur mengerjakan amalan agama  yang wajib dilakukan  dan amalan sunat seperti tahajud, taubat dan mengaji Al – Quran bagi menguatkan lagi keazaman untuk berubah.

Katanya, beliau mendapat ketenangan dalam kehidupannya selepas mengamalkan perkara yang disuruh oleh Allah SWT.

“Dahulunya saya sanggup mengambil hormon bagi menjadikan tubuh badan lebih menarik…. sehingga pada suatu masa saya tidak nampak apakah cara terbaik untuk berubah,

“Semua itu adalah kerana nafsu yang tidak terkawal  sehinggakan segala amalan baik, doa-doa yang saya pernah amalkannya dahulu ditinggalkan  dan  menjadikan hidup saya jauh lebih jauh terpesong dari jalan Allah,

“dan pada tahun 2011, beliau telah berusaha keras mempersiapkan dalaman diri saya bagi melakukan satu perubahan besar dalam hidup saya iaitu kembali kepada kehidupan normal  sehingga berjaya,” jelasnya.

Oleh itu katanya, beliau menasihatkan kepada golongan terbabit yang ingin berubah agar melakukannya kerana Allah bukan kerana popularity.

Tambahnya, teruslah berjalan ke hadapan dengan jati diri yang kuat.

Beliau turut menasihatkan kepada golongan muda yang baru berjinak dengan gejala negatif tersebut agar tidak sesekali mencuba gaya hidup yang dimurkai Allah.

“Kerana itu saya berjaya dalam mengekalkan diri saya sebagai seorang lelaki ….. sebagai seorang muslim sehinggalah ke hari ini,

“dan doakanlah semoga saya kekal berhijrah dan saya juga mengimpikan sebuah rumahtangga (yang bahagia) insya Allah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau menegaskan kepada sesiapa yang terlibat dengan dosa dan maksiat yang melanggar peraturan, tetap akan dikenakan tindakan jika terbukti bersalah.

“Pertemuan tidak rasmi dengan golongan ‘mak nyah’ ini adalah sebagai asas kepada jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dibawah kuasa kerajaan,

“Oleh itu langkah seterusnya insya Allah akan kita ambil bagi membuka lebih ruang kepada mereka membebaskan diri daripada apa yang mereka juga benci untuk diteruskan,

“dan semoga kami dan mereka akan diberi jalan keluar oleh Allah ke arah jalan yang lebih baik,” jelasnya.

Seminar yang diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.